بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

KEWAJIPAN MENYURUH & MENDIDIK AHLI KELUARGA MENDIRIKAN SOLAT

Ibu bapa dan penjaga mempunyai peranan yang penting dalam sesebuah kekeluargaan. Terlebih utama adalah pada menghiasi sebuah keluarga dengan biah islamiah melalui didikan dan amalan agar tertanam jiwa dan raga yang berlandaskan syariat Allah SWT serta menjauhi segala laranganNya pada setiap masa. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Tahrim, ayat 6:

يا أيها الذين آمنوا قوا أنفسكم وأهليكم نارا وقودها الناس والحجارة عليها ملائكة غلاظ شداد لا يعصون الله ما أمرهم ويفعلون ما يؤمرون.
Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan."

Oleh itu menjadi kewajipan kepada ibu bapa dan penjaga membentuk generasi rabani di dalam keluarga. Khususnya menerapkan kefahaman ilmu fardu ain seperti ilmu akidah, fiqh dan tasawuf yang merangkumi ilmu sifat-sifat yang wajib, harus dan mustahil pada hak Allah SWT dan Rasul-Nya, khasais Baginda SAW, ilmu syariat amaliah termasuklah taharah, solat, puasa dan sebagainya serta ilmu Tazkiyah al-Nafs. Kata al-Syeikh Abu Bakar Syata al-Dimyati al-Bakri:

والحاصل: يجب على الآباء والأمهات أن يعلموا أبناءهم جميع ما يجب على المكلف معرفته كي يرسخ الإيمان في قلوبهم ويعتادوا الطاعات.
Mafhumnya: "Ringkasannya wajib ibu bapa mengajar anak-anak mereka apa yang wajib diketahui oleh insan yang mukalaf sehingga teguh iman di hati mereka dan mereka menjadi terbiasa dengan ketaatan."

Justeru, bagi membiasakan anak-anak dengan ketaatan dan ibadah hendaklah dengan melentur buluh dari rebungnya. Kata al-Syeikh Abdullah bin al-Hussain bin Tahir al-Alwi al-Hadrami di dalam kitabnya Sulam al-Taufiq ila Mahabbat-illah 'ala al-Tahqiq:

فصل يجب على ولي الصبي والصبية المميزين أن يأمرهما بالصلاة ويعلمهما أحكامها بعد سبع سنين ويضربهما على تركها بعد عشر سنين.
Mafhumnya: "Fasal: 'Wajib ke atas penjaga kanak-kanak lelaki dan perempuan yang telah mumayiz memerintahkan mereka mengerjakan solat dan mengajarkan hukum-hakam kepada mereka setelah berumur tujuh tahun dan wajib memukul (pada kadar yang perlu tidak sampai menyakiti) kerana meninggalkan solat setelah masuk umur sepuluh tahun.'"

Al-Syeikh Muhammad Nawawi al-Banten al-Makki mensyarahkan bahawa kewajipan pendidikan ini juga merangkum syariat-syariat yang lain dan tidak terhad kepada syariat amaliah solat sahaja. Kata al-Syeikh Muhammad Nawawi al-Banten al-Makki:

وتعليمهم أركانها أى الصلاة وشروطها ومبطلاتها ومثل الصلاة سائر شرائع الإسلام.
Mafhumnya: "Dan mengajarkan mereka (ahli keluarga) rukun-rukunnya yakni solat, syarat-syaratnya dan perkara-perkara membatalkannya dan demikian juga dengan solat, adalah mengajarkan mereka segala syariat Islam."

Semoga Allah SWT mengurniakan qudrah kepada kita untuk menuntut ilmu fardu ain serta mendidik ahli keluarga kita dalam memahami dan mengamalkan syariat Allah SWT termasuk syariat iktikadiah, amaliah dan khuluqiah.


About Us

  • Masjid Jamek Bandar Baru UDA

    Masjid ini berkeluasan 18,640 kps boleh memuatkan seramai 5,400 jemaah, telah dibina pada 31 Disember 1996 dan mula diimarahkan pada 3 Januari 1997 (Jumaat).


Masjid ini berkeluasan 18,640 kps boleh memuatkan seramai 5,400 jemaah, telah dibina pada 31 Disember 1996 dan mula diimarahkan pada 3 Januari 1997 (Jumaat).

LATEST ALBUM

OUR LOCATION

Johor Bahru, Malaysia.

© Copyright | Powered by instaweb.my