Kehadiran bulan Rejab menandakan bahawa bulan Syaaban dan kemudiannya bulan Ramadan al-Karim yang dinanti-nantikan semua umat Islam di seluruh dunia begitu hampir sekali. Bulan-bulan tersebut merupakan bulan-bulan ibadat bagi umat Islam dan bulan Rejab adalah pintu bagi musim ibadat ini.
Kata al-Imam Ibnu Rajab al-Hanbali di dalam kitabnya:
Mafhumnya: "Bulan Rejab adalah kunci kepada bulan-bulan yang baik dan berkat ... Dan telah berkata sebahagian ulama: 'Satu tahun seumpama pokok, bulan Rejab pula adalah hari-hari ia mengeluarkan daunnya, bulan Syaaban pula adalah hari-hari ia menghasilkan buah dan bulan Ramadan pula adalah hari-hari buah dipetik, dan orang beriman adalah pemetik buah-buahan itu."
Al-Imam berkata lagi:
Mafhumnya kata al-Syeikh Abu Bakar al-Warraq al-Balkhi: "Bulan Rejab adalah bulan bagi penanaman, bulan Syaaban adalah bulan bagi penyiraman tanaman dan bulan Ramadan adalah bulan bagi tunaian hasil tanaman. Dan diriwayatkan bahawa beliau berkata: 'Perumpamaan bulan Rejab adalah seumpama angin, perumpamaan bulan Syaaban adalah seumpama awan dan perumpamaan bulan Ramadan adalah seumpama hujan.'"
Justeru para ulama menganjurkan kita untuk memperbanyakkan ibadat serta memohon keampunan dan melaksanakan taubat di dalam bulan-bulan ini dan lebih khusus pada bulan Rejab.
Kata al-Imam:
Mafhumnya: "Adalah patut bagi sesiapa yang telah menghitamkan catatan amalnya dengan dosa-dosa untuk memutihkannya dengan taubat pada bulan ini dan bagi sesiapa yang telah menyia-nyiakan umurnya di dalam kemalasan dari amal soleh untuk merebut peluang ibadat di dalam bulan ini dengan apa yang masih berbaki dari sisa umurnya."
Bahkan pada bulan Rejab juga para ulama melazimi ibadat puasa sepanjang bulan. Tambahan lagi kerana bulan Rejab termasuk di antara bulan-bulan Haram yang dimuliakan Allah SWT, dilipatgandakan pahala amal soleh dan dosa kezaliman dan kemaksiatan.
Kata al-Imam Ibnu Rajab al-Hanbali:
Mafhumnya: "Dan sesungguhnya sebahagian para Salaf berpuasa pada bulan-bulan Haram sepenuhnya. Di antara mereka adalah Ibnu Umar, al-Hasan al-Basri dan Abu Ishaq al-Subay'i" (Lataif al-Ma'arif fima li Mawasim al-'Am min al-Wazaif, hlm. 234)
Mafhumnya kata al-Imam Qatadah: "Amalan soleh (yang dikerjakan) adalah besar balasan pahalanya di dalam bulan-bulan Haram dan kezaliman di dalamnya juga besar balasan dosanya berbanding bulan-bulan lain. Walaupun pada hakikatnya kezaliman itu adalah besar dalam setiap keadaan." (Lubab al-Ta'wil fi Ma'ani al-Tanzil 2/358)
Oleh itu, marilah sama-sama kita meningkatkan amal ibadah pada bulan-bulan ibadat ini khususnya bulan Rejab dan membuat persiapan bagi menyambut bulan Ramadan al-Karim. Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan dan istiqamah kepada kita untuk melazimi amal ibadat dan menjauhi segala kemaksiatan dan kezaliman.