Ibadah & Puasa Sunat di Hari Asyura


Bulan Muharam adalah di antara bulan-bulan Haram yang suci dan ia adalah bulan pertama di dalam Takwim Hijriah. Pelbagai fadilat dan keistimewaan pada bulan ini dan para ulama menganjurkan kita untuk memperbanyakkan ibadah dan amal soleh seperti berselawat, berdoa, bermunajat dan sebagainya kerana digandakan pahala dan dosa bagi pelaku soleh dan maksiat pada bulan ini.

Mafhumnya kata al-Imam Qatadah: "Amalan soleh (yang dikerjakan) adalah besar balasan pahalanya di dalam bulan-bulan Haram dan kezaliman di dalamnya juga besar balasan dosanya berbanding bulan-bulan lain. Walaupun pada hakikatnya kezaliman itu adalah besar dalam setiap keadaan."

Justeru para ulama menganjurkan kita agar memperbanyakkan beribadah pada bulan Muharam. Khususnya beramal di bulan yang suci ini ialah berpuasa di hari Asyura kerana kelebihannya yang menghapuskan dosa dan kesalahan setahun yang lalu.

Mafhumnya kata Syeikh Zainuddin bin Abd Aziz al-Malibari: "Dan (disunatkan berpuasa pada) hari Asyura iaitu hari ke-10 bulan Muharam kerana ia menghapuskan dosa setahun yang lalu sebagaimana riwayat al-Imam Muslim."

Mafhumnya al-Imam al-Syed Bakri al-Makki Syata al-Dimyati menghuraikan: "Dan sunat muakad berpuasa pada hari Asyura kerana sabda Baginda SAW padanya: '(Dan berpuasa pada hari Asyura) sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah SWT agar ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang sebelumnya."

Termasuk dari sunat berpuasa hari Asyura adalah berpuasa pada hari Tasu'a dan hari ke-11 Muharam dan hikmahnya agar menyelisih amalan orang Yahudi. Justeru dianjurkan berpuasa para hari-hari tersebut. Bahkan sekiranya berpuasa hari Asyura sahaja makbul.

Mafhumnya kata Syeikh Zainuddin bin Abd Aziz al-Malibari: "(Disunatkan berpuasa) pada hari Tasu’a iaitu hari ke-9 bulan Muharam sepertimana hadis al-Imam Muslim (sabda Rasulullah SAW): ‘Sekiranya aku masih hidup sehingga tahun hadapan. nescaya aku akan berpuasa pada hari yang ke-9 (Tasu’a)’, lalu Baginda SAW telah wafat sebelumnya (tiba hari Tasu’a tahun berikutnya). Dan hikmah (berpuasa Tasu’a dan Asyura) adalah bagi menyelisih orang Yahudi dan dari sini dianjurkan bagi mereka yang tidak berpuasa (Tasu’a) untuk berpuasa hari ke-11, bahkan jika berpuasa sekalipun (pada hari Tasu’a) kerana sesuai pada hadis. Disebut di dalam al-Umm, tiada masalah sekiranya berpuasa (Asyura) sahaja (tanpa puasa sebelum dan selepas)."

Oleh itu marilah sama-sama kita tidak melepaskan peluang ibadah puasa pada hari Asyura. Selain itu kita juga dianjurkan untuk melakukan ibadah-ibadah yang lain. Al-Imam al-Syed Bakri al-Makki Syata al-Dimyati menghuraikan dan menukilkan sebuah nazam di dalam kitabnya berkaitan anjuran ibadah-ibadah tersebut.

Mafhumnya kata al-Imam al-Syed Bakri al-Makki Syata al-Dimyati: "Dan sebahagian mereka (para ulama) menghitung sifat amalan di hari Asyura dengan 12 perkara iaitu:

(1) bersolat;

(2) berpuasa;

(3) menyambung silaturahim;

(4) bersedekah;

(5) bersuci;

(6) bercelak;

(7) menziarahi orang alim;

(8) menjenguk orang sakit;

(9) menyapu kepala anak yatim;

(10) meluaskan (nafkah) keluarga;

(11) memotong kuku; dan

(12) membaca Surah al-Ikhlas sebanyak 1,000 kali"

Mafhumnya kata al-Imam: "Dan telah menazamkannya sebahagian ulama lalu berkata: ‘Pada hari Asyura ada 10 amalan dengannya lagi dua amalan lebih utama. Puasalah, solatlah, sambunglah silaturahim, ziarahlah orang alim, jenguklah orang sakit dan pakailah celak mata. Kepala anak yatim- usaplah, bersedekahlah dan bersucilah. Tambahlah nafkah keluarga, potonglah kuku dan bacalah Surah al-Ikhlas sekurangnya 1,000 kali."

Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan dan menjadikan kita beristiqamah dalam beramal pada bulan Muharam dan khususnya pada hari Asyura dan moga-moga kita diampunkan dari segala dosa dan kesalahan.