Pertama Yang Wajib



Menuntut ilmu agama adalah fardu hukumnya bagi setiap lelaki dan wanita muslim. Oleh itu, menjadi satu kesalahan bagi mereka yang mengabaikannya. Rasulullah SAW bersabda di dalam sebuah hadis:

Mafhumnya: "Menuntut ilmu adalah fardu ke atas setiap muslim."

Termasuk dari ilmu yang fardu untuk dipelajari adalah ilmu akidah. Al-Imam al-Ghazali menjelaskannya:

Mafhumnya: "Maka ketahuilah bahawa sesungguhnya ilmu yang dituntutnya fardu secara jumlah (keseluruhan) adalah tiga iaitu ilmu tauhid, ilmu sir yakni ilmu yang berkaitan dengan hati serta cara mengendalikannya dan ilmu syariat."

Al-Imam Ibnu Ruslan asy-Syafie berkata di dalam matannya Safwah al-Zubad:

Mafhumnya kata al-Imam Ibnu Ruslan asy-Syafie: "Perkara pertama yang wajib bagi (setiap) insan (yang Mukalaf) ialah mengenali Allah SWT dengan sepenuh keyakinan. Menuturkan dua kalimah Syahadah diambil kira sebagai syarat sempurna sah keimanan bagi mereka yang mampu."

Demikianlah kepentingan mempelajari ilmu akidah dan ia merupakan perkara pertama yang wajib diketahui bagi setiap insan mukalaf. Al-Imam Syamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Ramli al-Ansari asy-Syafie menghuraikan:

Mafhumnya: "Perkara pertama yang wajib (mengetahui) terhadap zatNya bagi setiap insan yang baligh, aqil (berakal) walau budak perempuan dan hamba, adalah mengenali Allah SWT dengan sepenuh kepastian yakni keyakinan seperti firmanNya: 'Maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.'"

Mafhumnya kata al-Imam lagi: "Dan kerana ia (mengenali Allah SWT) adalah asas bagi sekalian kewajipan dan kerana tidak sah tanpa ia akan ibadah wajib dan sunat. Yang dimaksudkan dengannya (mengenali Allah SWT) adalah mengenal wujud Allah SWT dan apa yang wajib padaNya dari penetapan beberapa sifat dan penafian beberapa sifat yang lain." (Gh?yah al-Bay?n fi Syarh Zubad Ibnu Rusl?n 1/8)

Justeru, marilah sama-sama kita berusaha mendalami ilmu agama yang fardu ini termasuk ilmu akidah agar menjadi jazam iktikad kita sebagai seorang muslim.