Di bulan Ramadan terdapat suatu malam yang amat istimewa iaitu Lailatulqadar dan ia adalah malam yang lebih utama dan baik dari seribu (1,000) bulan. Yakni beramal dan beribadah pada malam tersebut adalah lebih baik daripada seribu bulan tanpa Lailatulqadar.
Firman Allah SWT di dalam Surah al-Qadr, ayat 1-5:
Maksudnya: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatulqadar. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!."
Kata al-Imam Zainuddin al-Malibari al-Syafie di dalam kitabnya Fath al-Muin:
Mafhumnya: "Dan amal pada malam Lailatulqadar adalah lebih baik daripada amal selama seribu (1,000) bulan yang mana tiada padanya Lailatulqadar."
Kata al-Imam Abu Bakar al-Dimyati al-Bakri di dalam kitabnya 'Ianah al-Talibin:
Mafhumnya kata al-Syeikh: "Dan malam Lailatulqadar itu adalah bersamaan 83 tahun dan 4 bulan."
Disebutkan di dalam 'Ianah al-Talibin, bahawa istimewanya bulan ini adalah kerana ia anugerah khusus Allah SWT kepada Nabi SAW dan umatnya.
Kata al-Imam Abu Bakar al-Dimyati al-Bakri:
Mafhumnya: "Diriwayatkan dari Ibn Abbas RA, disebutkan kepada Rasulullah SAW seorang lelaki dari Bani Israel telah membawa pedang berjuang di jalan Allah selama seribu (1,000) bulan. Lalu Rasulullah SAW berasa takjub serta kagum dan berharap demikian bagi umatnya. Maka Baginda SAW berdoa: (( Ya Rab! Engkau menjadikan umatku berumur paling pendek dan paling sedikit amalnya )). Lalu Allah SWT menganugerahkan Lailatulqadar yang mana ia lebih baik daripada seribu bulan."
Oleh itu marilah sama-sama kita merebut peluang ini agar mendapatkan Lailatulqadar. Para ulama saling berselisih pada ketetapan dan perpindahan malam Lailatulqadar.
Kata al-Imam Zainuddin al-Malibari al-Syafie:
Mafhumnya: "Dan yang diharapkan adalah dari sepuluh (10) malam ganjil menurut al-Imam al-Syafie: pada malam ke-21 atau malam ke-23. Dan al-Imam al-Nawawi dan lainnya memilih (pendapat bahawa) malam Lailatulqadar boleh berpindah (di malam hari lainnya)."
Para ulama yang lain juga telah memberikan beberapa kaedah bagi mendapatkan malam Lailatulqadar. Di antaranya ialah al-Imam Abu Hasan al-Syazili dan para ulama tasawuf lain melalui nukilah beberapa ulama.
Kata al-Imam al-Ghazali dan para ulama selainnya:
Mafhumnya: "Ia (Lailatulqadar) boleh diketahui dengan (melihat) hari pertama dari bulan Ramadan. Maka apabila awal Ramadan itu pada hari Ahad atau Rabu, maka ia (Lailatulqadar) malam ke-29. Jika hari Isnin, maka ia malam ke-21. Jika hari Selasa atau Jumaat, maka ia malam ke-27. Jika hari Khamis, maka ia malam ke-25. Jika hari Sabtu, maka ia malam ke-23. Kata al-Syeikh Abu Hasan: ‘Sejak usiaku meningkat dewasa, aku tidak pernah tertinggal (malam) Lailatulqadar dengan kaedah tersebut."
Kata al-Syeikh al-Imam al-Qalyubi RHM:
Mafhumnya: "Wahai orang yang bertanya padaku tentang Lailatulqadar pada sepuluh terakhir bulan Ramadan, maka sesungguhnya ia dapat diketahui dari hari permulaan bulan Ramadan. Jika permulaan Ramadan pada hari Ahad dan Rabu maka Lailatulqadar adalah pada malam ke-29. Jika pada hari Jumaat dan Selasa, maka Lailatulqadar pada malam ke-27. Jika pada hari Khamis, maka malam ke-25. Jika pada hari Sabtu, maka malam ke-23. Jika pada hari Isnin, maka malam ke-21. (Penjelasan) ini adalah dari para ulama Tasawuf yang zuhud."
Diriwayatkan juga oleh al-Imam al-Baihaqi dua hadis:
Mafhumnya: (( Barangsiapa mengerjakan solat Maghrib dan Isyak berjemaah sehingga selesai Ramadan, maka sungguh ia telah mengambil bahagian Lailatulqadar dengan sempurna )). Dan diriwayatkan juga: (( Barangsiapa yang menghadiri solat Isyak berjemaah dari Ramadan, maka sungguh ia telah mendapatkan Lailatulqadar )).
Oleh itu, marilah sama-sama kita meningkatkan amal ibadah terutama pada 10 malam terakhir bulan Ramadan bagi mendapatkan malam Lailatulqadar. Semoga kita menjadi hamba-Nya yang terpilih untuk istiqamah menghidupkan Ramadan dan tergolong bersama-sama dengan hambaNya yang bertakwa.