Istiqamah Beribadah Selepas Ramadan



Di bulan Ramadan, umat Islam bersemangat dan bergembira menyambut kedatangannya. Sehinggakan diriwayatkan bahawa para sahabat berhajatkan setahun adalah Ramadan. Ini menunjukkan pelbagai fadilat pada bulan tersebut.

Malah di penghujung Ramadan, kita dianjurkan untuk melipatgandakan dan mempertingkatkan amal dan ibadah. Terlebih utama kerana di penghujung Ramadan adanya Lailatulqadar yang mana ia lebih baik dari beramal selama seribu (1,000) bulan.

Justeru momentum beramal dan beribadah yang telah kita istiqamah seharusnya dikekalkan walau sesudah Ramadan. Malah di bulan Syawal ini, umat Islam dianjurkan untuk berpuasa sunat 6 bulan Syawal dan ganjarannya termasuk berpuasa Ramadan adalah menyamai setahun berpuasa.

Ini merupakan salah satu faedah berpuasa sunat 6 Syawal iaitu mengekalkan momentum ibadah para hambaNya yang bertakwa.

Kata al-Imam Ibnu Rajab al-Hanbali:

Mafhumnya: "Dan diantaranya (faedah menyambung berpuasa 6 bulan Syawal) adalah sesungguhnya amal seorang hamba yang taqarub dengannya kepada Allah Taala pada bulan Ramadan tidak terputus dengan selesai Ramadan, bahkan ia bersambung selepas selesainya selama mana hamba tersebut masih hidup."

Al-Imam menghuraikan dari hadis berikut:

Mafhumnya: "Sesungguhnya orang yang berpuasa selepas berpuasa bulan Ramadan seperti orang yang kembali lagi untuk berperang setelah lari dari medan perang."

Mafhumnya: "Yakni seperti orang yang melarikan diri dari peperangan kemudian kembali lagi berperang. Dan demikian kerana sesungguhnya kebanyakkan dari manusia bergembira dengan berakhirnya bulan Ramadan kerana merasa bebanan puasa. Dan barangsiapa berlaku sedemikian, maka tidaklah ia hampir kembali puasa dengan segera."

Al-Imam menukilkan sebuah riwayat dari al-Imam Bisyr Hafi apabila beliau ditanya berkenaan golongan yang bersungguh-sungguh beribadah di bulan Ramadan dan tidak di bulan seterusnya.

Kata Bisyr Hafi:

Mafhumnya: "Dan dikatakan kepada Bisyr: 'Suatu kaum, mereka beribadah dan bersungguh-sungguh beramal di bulan Ramadan.' Lalu beliau menjawab: 'Seburuk-buruk kaum adalah mereka yang tidak mengenal Allah sebenar-benarnya melainkan di bulan Ramadan. Sesungguhnya orang soleh ialah yang beribadah dan bersungguh-sungguh beramal sepanjang tahun.'"

Diriwayatkan juga bahawa al-Imam al-Syibli menegaskan untuk menjadi ahli ibadah dan beramal sepanjang masa dan bukanlah mengutamakan bulan tertentu dan mengabaikan bulan lainnya.

Kata al-Imam:

Mafhumnya: "Al-Imam al-Syibli pernah ditanya: 'Yang mana satukah lebih afdal, bulan Rajab atau Syaaban?' Lalu beliau menjawab: 'Jadilah kamu seorang Rabbani dan janganlah kamu menjadi seorang Syaabani.'"

Justeru marilah sama-sama kita sentiasa muhasabah dengan kualiti dan kuantiti ibadah kita dari bulan yang lalu dan kini agar kita dapat berusaha memperbaiki diri dan beramal sehingga akhir hayat.

Kata al-Imam Hasan al-Basri:

Mafhumnya: "Sesungguhnya Allah tidak menjadikan ajal (akhir) bagi amal orang mukmin melainkan kematian."

Mafhumnya: "Kemudian beliau membaca: 'Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu al-Yaqin (ajal).'"

Semoga kita diberikan kekuatan agar dapat istiqamah beramal sebagaimana sungguhnya kita beramal di bulan Ramadan dan Allah menjadikan kita dikalangan para hambaNya yang bertakwa.