Kelahiran junjungan Nabi Muhammad SAW merupakan kelahiran yang teristimewa dan teragung. Para ulama mencatatkan pelbagai peristiwa keluarbiasaan berlaku di seluruh alam semasa ibu Rasulullah SAW mengandung sehinggalah melahirkan Baginda.
Ini kerana Rasulullah SAW merupakan makhluk Allah SWT yang paling afdal dan sempurna pada perihalnya dan sifatnya dari segala ciptaan Allah SWT, baik manusia, jin dan malaikat.
Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami menukilkan sebuah hadis di dalam risalahnya:
Mafhumnya: "Dan dari Abu Hurairah: "Aku telah bertanya Ali Ibn Abi Thalib RA tentang sifat-sifat Rasulullah SAW. Lalu dia menjawab: "Ketahuilah, bahawasanya Baginda SAW ialah utusan Tuhan sekalian alam, pemimpin bagi manusia yang mulia, penghulu sekalian Anbiya dan Mursalin...dan utusan kepada makhluk seluruhnya sebagaimana firman Allah SWT di dalam al-Quran: "Bukanlah Nabi Muhammad itu bapa dari seseorang lelaki di antara kamu, tetapi Baginda adalah Rasulullah dan khatam (penutup) bagi sekalian para Anbiya."
Kemuliaan Nabi SAW tidak dapat disangkal kerana Baginda SAW adalah sebaik-baik ciptaan. Justeru kedatangan dan kelahiran Baginda SAW juga amatlah mulia dan istimewa yang dinanti-nantikan oleh seluruh alam.
Bahkan dikhabarkan oleh al-Waqidi RHM, semasa Sayidatina Aminah RA mengandungkan Nabi SAW, para malaikat dan makhluk di seluruh alam memuji-muji Rasulullah SAW dan ketika Baginda lahir, Sayidatina Aminah RA diziarahi wanita-wanita yang mulia seperti Sayidatina Hawa, Sayidatina Sarah dan Sayidatina Maryam serta para malaikat berbondong-bondong menyambut kelahiran Baginda SAW dengan seruan tasbih dan selawat.
Kelahiran junjungan mulia Nabi SAW menjadi bukti kemuliaan di bulan Rabiulawal kerana insan mulia dilahirkan di bulan ini. Menjadikan Maulid al-Nabi SAW itu satu waktu, amalan dan majlis yang istimewa dan padanya pelbagai fadilat.
Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami menukilkan pelbagai kalam ulama tentang kemuliaan Maulid al-Nabi SAW:
Mafhumnya kata al-Imam al-Syafie: "Barangsiapa mengumpulkan saudara-saudaranya, mempersiapkan makanan, menghiasai tempat dan melakukan kebaikan untuk Maulid al-Nabi SAW dan itu menjadi sebab bagi bacaan al-Maulid nescaya Allah SWT akan membangkitkannya pada hari kiamat bersama para al-Siddiqin, para al-Syuhada dan para al-Solihin di dalam syurga-syurga al-Naim.'"
Mafhumnya kata al-Imam al-Sirri al-Saqati: "Barangsiapa menghadiri suatu tempat dibacakan Maulid al-Nabi SAW di dalamnya, maka sesungguhnya dia telah menghadiri salah satu taman dari taman-taman syurga kerana tidak dia hadir ke tempat itu melainkan kerana cinta kepada Rasul. Dan Rasulullah SAW telah bersabda: "Barangsiapa mencintaiku, akan bersamaku di dalam syurga."
Oleh itu dengan kehadiran Maulid al-Nabi SAW beberapa hari lagi, marilah sama-sama kita menghadiri majlis-majlis selawat, zikir, ilmu bagi mengagungkan Baginda SAW. Semoga Allah SWT menetapkan kita bersama-sama Baginda di dalam syurga.