Syaaban: Muqadimah Ramadan


Bulan Syaaban merupakan salah satu bulan-bulan di musim ibadat khususnya dalam penyiapan diri menyambut bulan Ramadan yang penuh kemuliaan. Ia juga digelarkan bulan al-Qura iaitu bulan bagi pembaca al-Quran. Ia juga disifatkan bulan yang dilalaikan manusia kerana berada di antara 2 bulan yang agung, bulan Haram Rejab dan Ramadan al-Mubarak.

Al-Imam al-Hafiz Ibn Rajab berkata:

Maksudnya: "Dan kerana bulan Syaaban adalah seperti mukadimah bagi bulan Ramadan. Disyariatkan di dalam Syaaban apa yang disyariatkan dalam Ramadan dari amal puasa dan membaca al-Quran agar terhasil kesediaan bertemu Ramadan dan terlatih jiwa-jiwa dengan (amalan) itu atas mentaati al-Rahman."

Kata al-Hasan bin Sahl:

Mafhumnya: "Kata Syaaban: 'Wahai Tuhan, engkau telah menjadikanku terletak di antara dua bulan yang agung, maka apakah bagi aku?' Allah menjawab: 'Aku telah menjadikan pada engkau bacaan al-Quran. Wahai orang yang meremehkan waktu-waktu yang mulia, dan mensia-siakannya dan menitipkan amalan buruk di dalamnya. Sungguh itu adalah seburuk-buruk titipan.'"

Oleh itu di antara amalan utama yang dianjurkan ulama pada bulan ini adalah berpuasa sunat. Ini kerana Rasulullah SAW juga diriwayatkan sering berpuasa pada bulan ini.

Sebuah hadis diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad dan al-Nasie, dari Usamah bin Zaid, dia bertanya Rasulullah SAW:

Mafhumnya kata Usamah bin Zaid: "Aku bertanya lagi: 'Dan aku tidak pernah melihat engkau berpuasa satu bulan dari bulan-bulan lain sebagaimana (kerapnya) engkau berpuasa di bulan Syaaban.' Sabda Baginda SAW: 'Ia adalah bulan yang mana manusia sering lalai akannya iaitu bulan yang berada di antara Rejab dan Ramadan. Bulan tersebut adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Rab al-Alamin, maka aku suka diangkat amalanku dalam keadaan aku sedang berpuasa.'"

Tambahan lagi, diriwayatkan juga Baginda SAW melarang berpuasa selepas pertengahan bulan Syaaban. Justeru para ulama menyatakan bahawa diharamkan berpuasa melainkan bagi orang yang menyambung puasa dari hari sebelumnya, berpuasa sebagaimana adatnya seperti puasa Isnin dan Khamis, puasa nazar dan qada puasa..

Ini berdasarkan hadis diriwayatkan al-Imam Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Nasie dan Ibn Hibban, dari Abu Hurairah, bahawa sabda Rasulullah SAW:

Mafhumnya: "Apabila telah pertengahan Syaaban, maka janganlah kamu berpuasa lagi hinggalah masuknya Ramadan."

Di antara keistimewaan di bulan ini pula adalah di dalamnya ada malam yang mulia iaitu Nisfu Syaaban. Malam tersebut Allah SWT mengampunkan para hamba-Nya serta memakbulkan permintaan mereka.

Diriwayatkan sebuah hadis Marfuk, dari Usman bin al-As:

Mafhumnya: "Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, akan berseru satu seruan: 'Apakah ada orang yang meminta keampunan? Maka Aku akan mengampunkannya. Apakah ada orang yang meminta sesuatu? Maka aku akan mengurniakannya?' Tidak meminta seseorang hamba (pada malam tersebut) melainkan akan Aku berikan, kecuali seorang wanita penzina dan seorang musyrik.'"

Justeru marilah kita mengambil peluang dengan kedatangan bulan Syaaban ini dan malam yang menghampiri kita iaitu Nisfu Syaaban dengan sentiasa beramal dan beribadat samada berzikir, berdoa, membaca al-Quran, mendirikan solat berjemaah, bersolat di malam hari dan berpuasa di siang hari. Semoga Allah SWT menerima amal ibadat dan menunaikan segala hajat kita.