Hukum mendalami ilmu agama merupakan fardu ain bagi setiap orang yang mukalaf. Di antara jenis ilmu fardu ain ini adalah ilmu akidah dan ia merupakan perkara pertama yang wajib diketahui sekalian mukalaf.
Al-Imam Ibnu Ruslan asy-Syafie berkata di dalam Safwah al-Zubad:
Mafhumnya: " Perkara pertama yang wajib bagi (setiap) insan (yang Mukalaf) ialah mengenali Allah SWT dengan sepenuh keyakinan. Menuturkan dua kalimah Syahadah diambil kira sebagai syarat sempurna sah keimanan bagi mereka yang mampu."
Termasuk kewajipan bagi mukalaf untuk mengetahui ilmu yang mensahihkan iman dan ketaatan ini adalah mengajarkan dan mendidik anak-anak oleh setiap ibu bapa kepada mereka.
As-Syeikh Abu Bakr Uthman bin Muhammad Syata al-Dimyati al-Bakri menghuraikan di dalam hasyiahnya apa yang dijelaskan oleh Ulama At-Tauhid pada kewajipan mengajarkan ringkasan simpulan iman kepada anak-anak sebelum mengajarkan ibadah solat termasuklah mengajarkan mereka 50 sifat yang Wajib, Mustahil dan Harus pada hak Allah SWT dan Rasulullah SAW serta mengajarkan Sirah An-Nabawiyah dan segala hal kemuliaan dan keperibadian Baginda SAW, keturunan dan jalurnya SAW.
Asy-Syeikh berkata:
Mafhumnya: " Ringkasannya wajib ibu bapa mengajar anak-anak mereka apa yang wajib diketahui oleh insan yang Mukalaf sehingga teguh iman di hati mereka dan mereka menjadi terbiasa dengan ketaatan seperti mengajar mereka apa yang Wajib bagi Tuhan Yang Mahakuasa, apa yang Mustahil dan apa yang Harus ... dan mengajarkan kepada mereka apa yang Wajib pada para Rasul AS, apa yang Mustahil dan apa yang Harus ... dan mengajarkan kepada mereka bahawasanya Allah SWT mengutuskan Nabi, Al-Ummi, berbangsa Arab Quraish, keturunan Bani Hasyim, Sayidina Muhammad SAW dengan Risalahnya kepada seluruh makhluk, samada Arab dan ‘Ajam, para Malaikat, manusia, jin dan Jamadat (benda tetap)." (Hasyiah I'anah al-Thalibin ala Hal al-Faz Fath al-Mu'in 1/48)
Semoga Allah SWT mengurniakan qudrah serta kesungguhan kepada kita serta ahli keluarga kita untuk melazimi dan istiqamah di dalam menimba ilmu agama, beramal dan beribadah dengannya dan seterusnya menjadikan kita dikalangan mereka yang berilmu dan bertakwa.