Mencintai Tanah Air


Mencintai tanah air merupakan fitrah setiap kehidupan dan setiap manusia pasti mencintai negerinya walau seburuk apa pun ia. Bahkan Islam menganjurkan kita untuk memupuk rasa cinta akan tanah air dan seterusnya membangunkannya dan mempertahankannya.

Maksudnya firman Allah SWT di dalam Surah al-Qasas, ayat 85: "Sesungguhnya Allah yang mewajibkan kepadamu (beramal dan menyampaikan) al-Quran (wahai Muhammad) sudah tentu akan menyampaikan engkau lagi kepada apa yang engkau ingini dan cintai (Mekah al-Mukaramah). Katakanlah (kepada kaum yang menentangmu): 'Tuhanku amat mengetahui akan sesiapa yang membawa hidayah petunjuk dan sesiapa pula yang berada dalam kesesatan yang nyata."

Al-Syeikh Ismail Haqi al-Barusawy menghuraikan bahawa ayat ini memberi petunjuk untuk mencintai tanah air dan ia merupakan tanda keimanan.

Kata al-Syeikh di dalam tafsirnya:

Mafhumnya: "Dan di dalam tafsir ayat memberi isyarat bahawa seusngguhnya mencintai tanah air adalah sebahagian tanda keimanan dan Baginda SAW banyak menyebut: 'Tanah air, tanah air,' lalu Allah SWT mengabulkan permintaannya."

Mafhumnya kata al-Syeikh: "Dikatakan: 'Unta menangis rindukan tanah airnya sekalipun tempohnya jauh, burung pula pada sarangnya sekalipun tempatnya gersang dan manusia kepada tanah airnya sekalipun tempat lain itu lebih banyak manfaat.'"

Justeru semangat mencintai tanah air ini seharusnya di tanam ke dalam jati diri masyarakat. Ini bukan sahaja tanda keimanan bahkan menjamin keluhuran dan kestabilan negara kerana hilangnya semangat patriotisme ini akan menimbulkan keretakan kedamaian.

Al-Syeikh menukilkan kata-kata Sayidina Umar RA:

Mafhumnya: "Kata Sayidina Umar RA: 'Sekiranya bukan kerana cinta akan tanah air, nescaya akan binasa negeri yang penuh kejahatan. Lalu dengan cinta akan tanah air akan termakmur negeri-negeri tersebut."

Oleh itu marilah sama-sama kita menghayati kemerdekaan negara kita dengan meneladani sejarah dan para pejuang kemerdekaan negara yang berjuang dan memastikan kedaulatan dan kehormatan negara kita terjamin sehingga kini.

Semoga dengan penghayatan ini memberikan kesungguhan kepada kita untuk turut berjuang membangunkan masyarakat dengan memberi manfaat kepada umat dan negara seterusnya mengangkatkan martabat dan keutuhannya.