Di bulan Ramadan ini, umat Islam amatlah dianjurkan untuk melazimi al-Quran dan mengkhatamkannya. Bahkan para ulama mengatakan ianya sunat muakkad. Tambahan lagi dikala pengkhataman, doa para hamba adalah mustajab.
Oleh itu pihak masjid mengalu-alukan kehadiran muslimin & muslimat jemaah MJBBU, ahli kariah dan masyarakat sekitar ke Majlis Khatam Perdana & Sumbangan Hari Raya 1444H, bertempat di Dewan Solat Utama MJBBU. Selain majlis pengkhataman al-Quran, pihak masjid akan mengadakan program Mini Halaqah bersama Ustaz Mohd Hambali bin Abd Rahman dan Bilal Mohamad Khairulanuar bin Mohamad Dun.
Semoga Allah memakbulkan hajat para hadirin di majlis ini.
قال الإمام النووي رحمه الله: يستحب حضور مجلس ختم القرآن استحبابا متأكدا ... وروى الدارمي وأبو داود بإسنادهما عن ابن عباس رضي الله عنهما أنه كان يجعل رجلاً يراقب رجلاً يقرأ القرآن فإذا أراد أن يختم أعلم ابن عباس فيشهد ذلك
Mafhumnya kata al-Imam al-Nawawi: "Sunat menghadiri majlis pengkhataman al-Quran dengan sunat muakkad (sangat dianjurkan). Dan diriwayatkan oleh al-Darimi dan Abu Daud dengan sanad kedua-duanya, dari Ibn Abbas RA bahawasanya ia menjadikan seseorang memperhatikan seorang yang membaca al-Quran. Apabila ia akan mengkhatamkan al-Quran, hendaklah orang tersebut memberitahu Ibn Abbas sehingga ia dapat menyaksikan berkhatam itu."
وروى بأسانيد الصحيحة عن الحكم بن عيينة التابعي الجليل قال: أرسل إلي مجاهد وعتبة بن لبابة فقالا: إنا أرسلنا إليك لأنا أردنا أن نختم القرآن، والدعاء يستجاب عند ختم القرآن (التبيان في آداب حملة القرآن ص. 159)
Mafhumnya: "Dan diriwayatkan dengan sanad-sanad yang sahih, dari al-Hakam bin Uyainah al-Tabi'i al-Jalil (seorang tabiin yang mulia), ia telah berkata: 'Mujahid dan Utbah bin Lubabah telah menghantar utusan kepadaku dan mereka berdua telah berkata: 'Sesungguhnya kami menghantar utusan kepada engkau kerana kami ingin mengkhatamkan al-Quran, dan doa mustajab ketika mengkhatamkan al-Quran.'"