بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

MAJLIS KHATAM PERDANA & SUMBANGAN HARI RAYA 1444H

Alhamdulillah, Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) telah mengadakan Majlis Khatam Perdana & Sumbangan Hari Raya 1444H semalam (15 April 2023). Majlis ini telah mendapat sambutan yang baik dari jemaah masjid dan telah berjalan dengan lancar.

Majlis yang diadakan bagi meraikan pengkhataman tadarus al-Quran muslimin & muslimat MJBBU, telah bermula pada jam 9.15 pagi dengan ucapan aluan Pengerusi Majlis oleh Ketua Imam MJBBU, Imam Haji Mohd Kamal bin Zakaria dan ucapan Pengerusi MJBBU, Ustaz Haji Burhanuddin bin Haji Tibek. Majlis diteruskan dengan sesi pengkhataman al-Quran dan ditutupi dengan bacaan doa khatam al-Quran oleh Imam 2 MJBBU, Imam Mohd Shaiful bin Mohd Esa.

Majlis diteruskan dengan aktiviti kemuncak program khatam iaitu Mini Halaqah bersama qari, Bilal 1 MJBBU, Bilal Mohamad Khairulanuar bin Mohamad Dun dan pentadabbur, Ustaz Mohd Hambali bin Abd Rahman. Majlis diakhiri dengan penyampaian saguhati kepada penceramah, sumbangan kepada surau-surau, sekolah-sekolah dan Madrasah Tahfiz Dar Absyir, BBU serta sumbangan hari raya kepada para asnaf BBU.

Pihak masjid mengucapkan jutaan terima kasih kepada para jemaah dan ahli asnaf di atas penyertaan dan seterusnya membantu melancarkan majlis ini dengan jayanya serta mengimarahkan masjid. Semoga dengan diadakan majlis ini, para peserta dapat menjiwai kehidupan yang dilazimi dengan al-Quran dan ilmu pengetahuan tentang al-Quran khususnya di bulan turunnya al-Quran, Ramadan al-Mubarak.

قال الإمام النووي رحمه الله: يستحب حضور مجلس ختم القرآن استحبابا متأكدا ... وروى الدارمي وأبو داود بإسنادهما عن ابن عباس رضي الله عنهما أنه كان يجعل رجلاً يراقب رجلاً يقرأ القرآن فإذا أراد أن يختم أعلم ابن عباس فيشهد ذلك

Mafhumnya kata al-Imam al-Nawawi: "Sunat menghadiri majlis pengkhataman al-Quran dengan sunat muakkad (sangat dianjurkan). Dan diriwayatkan oleh al-Darimi dan Abu Daud dengan sanad kedua-duanya, dari Ibn Abbas RA bahawasanya ia menjadikan seseorang memperhatikan seorang yang membaca al-Quran. Apabila ia akan mengkhatamkan al-Quran, hendaklah orang tersebut memberitahu Ibn Abbas sehingga ia dapat menyaksikan berkhatam itu."

وروى بأسانيد الصحيحة عن الحكم بن عيينة التابعي الجليل قال: أرسل إلي مجاهد وعتبة بن لبابة فقالا: إنا أرسلنا إليك لأنا أردنا أن نختم القرآن، والدعاء يستجاب عند ختم القرآن (التبيان في آداب حملة القرآن ص. 159)

Mafhumnya: "Dan diriwayatkan dengan sanad-sanad yang sahih, dari al-Hakam bin Uyainah al-Tabi'i al-Jalil (seorang tabiin yang mulia), ia telah berkata: 'Mujahid dan Utbah bin Lubabah telah menghantar utusan kepadaku dan mereka berdua telah berkata: 'Sesungguhnya kami menghantar utusan kepada engkau kerana kami ingin mengkhatamkan al-Quran, dan doa mustajab ketika mengkhatamkan al-Quran.'"