بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
ISTIQAMAH BERIBADAH SELEPAS RAMADAN
Di bulan Ramadan, umat Islam bersemangat dan bergembira menyambut kedatangannya. Sehinggakan diriwayatkan bahawa para sahabat berhajatkan setahun adalah Ramadan. Ini menunjukkan pelbagai fadilat pada bulan tersebut.
Malah di penghujung Ramadan, kita dianjurkan untuk melipatgandakan dan mempertingkatkan amal dan ibadah. Terlebih utama kerana di penghujung Ramadan adanya Lailatulqadar yang mana ia lebih baik dari beramal selama seribu (1,000) bulan.
Justeru momentum beramal dan beribadah yang telah kita istiqamah seharusnya dikekalkan walau sesudah Ramadan. Malah di bulan Syawal ini, umat Islam dianjurkan untuk berpuasa sunat 6 bulan Syawal dan ganjarannya termasuk berpuasa Ramadan adalah menyamai setahun berpuasa.
Ini merupakan salah satu faedah berpuasa sunat 6 Syawal iaitu mengekalkan momentum ibadah para hambaNya yang bertakwa.
Kata al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali di dalam Lataif al-Maarif:
ومنها أن الأعمال التي كان العبد يتقرب بها إلى ربه في شهر رمضان لا تنقطع بانقضاء رمضان بل هي باقية بعد انقضائه ما دام العبد حيا
Mafhumnya: "Dan diantaranya (faedah menyambung berpuasa 6 bulan Syawal) adalah sesungguhnya amalan seorang hamba yang taqarub dengan berpuasa kepada Allah di bulan Ramadan tidak terputus dengan selesai Ramadan, bahkan ia bersambung selepas selesainya selama mana hamba tersebut masih hidup."
Al-Imam menghuraikan juga dari hadis ini:
(( أن الصائم بعد رمضان كالكار بعد الفار ))
Mafhumnya: (( Sesungguhnya orang yang berpuasa selepas berpuasa bulan Ramadan seperti orang yang kembali lagi untuk berperang setelah lari dari medan perang )).
يعني كالذي يفر من القتال في سبيل الله ثم يعود إليه وذلك لأن كثيرا من الناس يفرح بانقضاء شهر رمضان لاستثقال الصيام ... ومن كان كذلك فلا يكاد يعود إلى الصيام سريعا
Mafhumnya: "Yakni seperti orang yang melarikan diri dari peperangan di jalan Allah kemudian kembali lagi berperang. Dan demikian kerana sesungguhnya kebanyakkan dari manusia bergembira dengan berakhirnya bulan Ramadan kerana merasa bebanan puasa. Dan barangsiapa berlaku sedemikian, maka tidaklah ia hampir kembali puasa dengan segera."
Demikian kata Bisyr al-Hafi ketika ditanya berkenaan sekumpulan masyarakat yang bertindak sedemikian:
بئس القوم لا يعرفون لله حقا إلا في شهر رمضان إن الصالح الذي يتعبد ويجتهد السنة كلها
Mafhumnya: "Seburuk kaum adalah mereka yang tidak mengenal Allah sebenar-benarnya melainkan di bulan Ramadan. Sesungguhnya orang soleh ialah yang beribadah dan bersungguh-sungguh beramal sepanjang tahun."
Kata al-Imam al-Syibli apabila ditanya berkenaan bulan yang afdal beramal di antara Rajab atau Syaaban:
كن ربانيا ولا تكن شعبانيا
Mafhumnya: "Jadilah kamu seorang Rabbani (orang beribadat dan bertakwa) dan janganlah kamu jadi seorang Syaabani (orang yang bersungguh beribadat hanya di bulan Syaaban)."
Justeru marilah sama-sama kita sentiasa bermuhasabah terhadap kualiti dan kuantiti ibadah kita di bulan yang lalu dan kini agar kita dapat berusaha memperbaiki diri dengan lebih baik dan menambahkan amalan sehingga akhir hayat.
Semoga kita diberikan kekuatan untuk istiqamah beramal sebagaimana bersungguhnya kita beramal di bulan Ramadan dan Allah menjadikan kita dikalangan para hambaNya yang bertakwa.