بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
GANJARAN BERPUASA SETAHUN DALAM IBADAH-IBADAH PUASA
Antara amalan sunat dan anjuran para ulama di bulan Syawal adalah ibadah puasa sunat enam (6) hari di bulan Syawal dan ia mempunyai fadilat yang luar biasa. Yakni berpuasa sunat enam (6) hari bulan Syawal selepas sebulan berpuasa sepanjang bulan Ramadan adalah bersamaan pahalanya dengan berpuasa sepanjang tahun.
Al-Imam Izz bin Abd Salam al-Sulami al-Syafie menukilkan di dalam risalahnya:
قال النبي صلى الله عليه وسلم: (( من صام رمضان ثم أتبَعَه ستا من شوال كان كصيام الدهر ))
Mafhumnya sabda Nabi SAW: (( Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan enam (6) hari di bulan Syawal ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun )).
ﻭﺇﻧﻤﺎ ﻛﺎﻥ ﻛﺼﻴﺎﻡ ﺍﻟﺪﻫﺮ ﻷﻥ ﺍﻟﺤﺴﻨﺔ ﺑﻌﺸﺮ ﺃﻣﺜﺎﻟﻬﺎ ﻓﻴﻘﺎﺑﻞ ﻛﻞ ﻳﻮﻡ ﺑﻌﺸﺮﺓ ﺃﻳﺎﻡ
Mafhumnya kata al-Imam: "Dan sesungguhnya (berpuasa di bulan Ramadan dan diikuti enam (6) hari di bulan Syawal) adalah seperti berpuasa sepanjang tahun kerana setiap kebaikan itu dibalas dengan sepuluh kali ganda, maka setiap hari diimbangi dengan sepuluh hari."
Ganjaran berpuasa sepanjang tahun ini sebagaimana hadis dan huraian al-Imam adalah diiktibarkan sebagaimana berikut; setiap amalan kebaikan digandakan dengan 10 dan ini bermakna 30 hari x 10 = 300 dan berpuasa sunat 6 x 10 = 60. Ini menjadikan jumlahnya 360 hari berpuasa dan daripada perkiraan inilah dikatakan seumpama berpuasa sepanjang tahun (mengikut kiraan hijriah).
Oleh itu, marilah sama-sama kita merebut peluang ini dengan berpuasa sunat enam (6) hari di bulan Syawal agar mendapat balasan pahala berpuasa sepanjang tahun.
Tambahan dari memperoleh ganjaran berpuasa setahun ini juga adalah dengan mendapatkan fadilat puasa itu sendiri khususnya bagi mereka yang mengalami keuzuran dari berpuasa. Iaitu dengan memberi juadah berbuka kepada mereka yang berpuasa.
قال سلطان العلماء العز بن عبد السلام السلمي الشافعي: ومن شرفه أنه: من فطر صائما، كان له مثل أجره، وقال صلى الله عليه وسلم: (( من فطر صائما كان له مثل أجره، من غير أن ينقص من أجر الصائم شيء ))
Mafhumnya kata al-Imam Izz bin Abd Salam al-Sulami al-Syafie: "Dan di antara kemuliaan puasa bahawasanya barangsiapa memberikan juadah berbuka kepada orang yang berpuasa maka baginya pahala sepertinya. Dan sabda Baginda SAW: (( Barangsiapa yang memberikan juadah berbuka buat orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa kurang sedikit pun ))."
فمن فطر ستة وثلاثين صائما في كل سنة فكانما صام الدهر ومن كثر بفطر الصائمين على هذه النية كتب الله له صوم عصور ودهور
Mafhumnya kata al-Imam lagi: "Maka barangsiapa memberi juadah berbuka kepada tiga puluh enam (36) orang yang berpuasa setiap tahun, maka seoleh-olah ia berpuasa satu tahun. Dan barangsiapa memperbanyak memberi makan dan minum kepada orang-orang yang berpuasa atas dasar niat ini, Allah mencatat baginya puasa berabad-abad dan bertahun-tahun."
Justeru dengan memberi juadah berbuka puasa kepada orang yang berpuasa dan dengan menyamai jumlah hari serta gandaan balasan puasa ini, maka akan diganjari juga dengan pahala berpuasa sepanjang tahun, bahkan berabad-abad berpuasa. Sungguh agungnya ibadah ini dan seharusnya kita mengejar bagi melakukan kebajikan dan amalan yang menggandakan balasan pahala dari ibadah ini.
Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan untuk istiqamah beramal, beribadah dan berpuasa dan seterusnya menjadikan kita tergolong dengan para hambaNya yang bertakwa.