بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

FADILAT KURNIAAN ALLAH SWT DI DALAM IBADAH HAJI

Di antara amalan fardu dan merupakan rukun Islam yang terakhir, yakni yang ke-5 ialah ibadah haji. Setiap muslim yang mukallaf dan mempunyai kemampuan, kesihatan dan seumpamanya, wajib ia menunaikan haji walau sekali seumur hidup.

Ini didasari dari firman Allah SWT:

ولله على الناس حج البيت من استطاع إليه سبيلا (آل عمران: 97)

Maksudnya: "Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya."

Sabda Rasulullah SAW:

بني الإسلام على خمس...وحج البيت من استطاع إليه سبيلا

Mafhumnya: (( Islam itu diasaskan atas lima perkara...dan mengerjakan haji ke baitullah bagi mereka yang mampu )).

Pelbagai kelebihan bagi orang yang mengerjakan ibadah haji. Para ulama menyatakan bahawa fadilatnya tidak terhitung banyak dan ganjarannya termasuklah menebus dosa, ganjaran syurga, dilipatgandakan pahala dan sebagainya.

Kata al-Imam al-Allamah Abi Bakr Syata al-Dimyati al-Bakri di dalam I'anah al-Thalibin:

واعلم أن فضائله لا تحصي

Mafhumnya: "Dan ketahuilah bahawa fadilat-fadilat ibadah haji tidak terkira."

وروى ابن حبان عن ابن عمر أن النبي صل قال: (( إن الحاج حين يخرج من بيته لم يخط خطوة الا كتب الله له بها حسنة، وحط عنه بها خطيئة، فاذا وقفوا بعرفات: باهى الله بهم ملائكته، يقول: انظروا الى عبادي، أتوني شعثا غبرا، أشهدكم أني غفرت لهم ذنوبهم وإن كانت عدد قطر السماء ورمل عالج ))

Mafhumnya diriwayatkan dari al-Imam Ibn Hibban, dari Ibn Umar RA bahawa sabda Rasulullah SAW: (( Sesungguhnya orang yang haji ketika keluar dari rumahnya, ia tidak melangkah satu langkah kecuali Allah mencatat baginya satu kebaikan dan meleburkan darinya dengan langkah itu, satu keburukan. Lalu apabila ia wuquf di Arafah, Allah berbangga dihadapan para malaikat, Ia berfirman: "Lihatlah para hamba-Ku, mereka datang pada-Ku dengan pakaian sederhana dan berdebu. Aku bersaksi pada kamu (malaikat) bahawa Aku telah mengampunkan dosa-dosa mereka dan sekiranya dosanya bagaikan titisan air hujan dan butiran pasir" )).

Begitu agungnya ibadah haji ini dan dileburkan segala dosa bagi orang yang mengerjakannya. Tambahan lagi segala amal dan perbuatan di dalam ibadah ini kesemuanya adalah ta'abudiyah, yakni ibadah yang diperintahkan tanpa diketahui illah dan sebabnya melainkan hikmah-hikmahnya serta didasari dengan takwa kepada Allah dan Rasul-Nya semata-mata dan diganjari Allah dengan pahala yang berganda.

Sebagaimana hikmahnya lafaz haji seperti yang dinyatakan, begitu juga hikmah-hikmah lainnya dari ibadah-ibadah di dalam haji. Seperti fadilat ihram, bersuci, talbiah, wuquf di Arafah, bercukur dan sebagainya yang menjadi kemuliaan bagi orang yang mengerjakan haji.

Kata al-Imam:

فأما الحكمة في التجرد عند الإحرام: فإن من عادة الناس إذا قصدوا أبواب المخلوقين، لبسوا أفخر ثيابهم من اللباس، فكأن الحق سبحانه وتعالى يقول: القصد إلى بابي خلاف القصد إلى أبوابهم، لأضاعف لهم أجرهم وثوابهم

Mafhumnya: "Adapun hikmah di dalam ihram, bahawa dari adat kebiasaan manusia itu apabila menuju pintu orang lain, mereka memakai pakaian yang paling sempurna. Maka seolah-olah Allah SWT berfirman: 'Tujuan ke pintu-Ku adalah bersalahan dengan tujuan ke pintu-pintu mereka kerana tujuannya agar Aku menggandakan bagi mereka ganjaran dan pahala mereka.'"

وأما الاغتسال عند الإحرام...وهي أن الحجاج يضعون أقدامهم على مواضع أقدام الأنبياء الأبرار، فيكونون قبل ذلك قد اغتسلوا لينالوا بركتهم في تلك الآثار

Mafhumnya: "Dan adapun bersuci ketika ihram...dan adalah hikmahnya bahawa orang yang menunaikan haji itu meletakkan kaki mereka di atas kaki para Anbia yang baik dan soleh. Lalu sebelum itu mereka bersuci agar mendapatkan keberkatan para Anbia."

Semoga Allah SWT mengurniakan rezeki kesihatan, kelapangan dan kewangan kepada kita untuk mengerjakan haji bagi tahun ini dan bagi mereka yang mempunyai keuzuran berpeluang untuk menunaikan haji pada tahun berikutnya.


About Us


Masjid ini berkeluasan 18,640 kps boleh memuatkan seramai 5,400 jemaah, telah dibina pada 31 Disember

LATEST ALBUM

OUR LOCATION

Johor Bahru, Malaysia.

© Copyright | Powered by instaweb.my