بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
PROGRAM KORBAN AIDILADHA 1444H/2023M DI MJBBU
Alhamdulillah telah berlangsung Program Korban Aidiladha di Masjid Jamek Bandar Baru Uda semalam (02 Julai 2023) di perkarangan masjid ini dan Pusat Dialisis & Kesihatan MBBU (PDK). Program ini mendapat sambutan yang amat baik dan dihadiri petugas serta sukarelawan masjid seramai 51 orang.
Bagi program korban tahun ini, pihak masjid melaksanakan korban sebanyak 10 ekor lembu dan 15 ekor kambing. Bagi penyembelihan lembu-lembu telah dilaksanakan di pusat penyembelihan di Kota Tinggi dengan pantauan Ketua Imam MJBBU, Imam Haji Mohd Kamal bin Zakaria bersama Imam Muhammad Hakimin bin Mohd Fazarin, Imam Ibrahim Adham Afif bin Ismail dan Bilal Muhammad Zulfikri Amin bin Zulkifli dan kerja-kerja penyembelihan dilakukan seawal jam 1.00 pagi di sana. Manakala aktiviti-aktiviti melapah daging-daging lembu oleh para petugas dan sukarelawan masjid telah bermula seawal jam 7.00 pagi di perkarangan masjid.
Bagi penyembelihan kambing-kambing pula telah dilaksanakan di masjid pada pagi tersebut dan dipimpin oleh Ustaz Haji Abu Bakar bin Watak, Imam Mohd Shaiful bin Mohd Esa dan Imam Ibrahim Adham Afif bin Ismail. Para peserta yang sempat hadir dapat menyaksikan korban masing-masing dilaksanakan.
Aktiviti-aktiviti pengagihan daging-daging korban pula telah bermula seusai Solat Fardu Zohor berjemaah sehingga Asar dan kerja pembersihan dilakukan sejurus selesai pengurusan sembelihan, melapah dan seumpamanya.
Pihak masjid mengucapkan tahniah kepada para jemaah yang hadir dan sertai aktiviti korban di masjid ini bagi tahun 1444H/2023M dan jutaan terima kasih kepada para petugas dan sukarelawan masjid yang bertungkus-lumus bagi menjayakan ibadah ini.
قال تعالى في كتابه العزيز: فصل لربك وانحر (الكوثر: 02)
Maksudnya firman Allah SWT: "Maka tunaikanlah solat untuk Tuhan kamu dan lakukanlah sembelihan."
وخبر الترمذي عن عائشة رضي الله عنها أن النبي ﷺ قال: ((ما عمل آدمي من عمل يوم النحر أحب إلى الله من إهراق الدم، إنه ليأتي يوم القيامة بقرونها وأشعارها وأظلافها، وأن الدم ليقع من الله بمكان قبل أن يقع من الأرض، فطيبوا بها نفسا)) (حاشية البيجوري على شرح الغزي 2/554)
Mafhumnya sabda Rasulullah SAW: (( Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam AS pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada reda Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban) )).