بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

KARNIVAL MAAL HIJRAH 1445H DI MJBBU

Alhamdulillah Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) telah mengadakan program bagi sambutan tahun baru Maal Hijrah pada Selasa (18 Julai 2023) yang lalu. Program ini mendapat sambutan yang baik dari ahli kariah BBU dan masyarakat sekitar.

Pelbagai program dan aktiviti sempena sambutan Maal Hijrah kali ini termasuklah pertandingan-pertandingan, kaunter-kaunter pemeriksaan kesihatan, hibah, khairat, demonstrasi Bomba, kuliah-kuliah ilmu dan sebagainya. Pada awal sambutan ini, pihak masjid melaksanakan Majlis Bacaan Yasin & Doa Akhir dan Awal Tahun yang dipimpin oleh para imam dan bilal MJBBU. Sambutan diteruskan dengan Kuliah Maghrib Khas Hari Thaqafah yang memberi pencerahan ilmu yang lebih terperinci dari pendedahan asasi dan siri ke-13 kali ini adalah berkenaan Manaqib atau Biografi al-Imam Muhammad Idris al-Syafie yang telah disampaikan oleh Ustaz Ahmad Helmi bin Subahan.

Sambutan Maal Hijrah diteruskan lagi dengan program Qiamullail pada jam 4.30 pagi yang dipimpin oleh Ustaz Mohammad Muslim bin Ali, kemudian diteruskan dengan Kuliah Subuh Khas Hari Thaqafah bersama Ustaz Bukharuddin bin Ismail. Kemuncak sambutan ini dengan Karnival Maal Hijrah bermula seawal jam 8.00 pagi dengan penyediaan kaunter-kaunter Maal Hijrah di Ruang Legar Aras 1 MJBBU dan perkarangan MJBBU. Di antara kaunter yang disediakan adalah kaunter Rejimen Askar Wataniah, kaunter Hibah & Pusaka oleh Al-Salihin, kaunter Pusat Dialisis & Kesihatan (PDK), kaunter Rawatan Islam oleh Terapi bil Quran dan sebagainya.

Pada jam 9.00 pagi, sambutan ini diteruskan dengan Pertandingan Azan dan Pertandingan Khutbah di Dewan Solat Utama MJBBU. Pada masa yang sama, masjid turut mengadakan Fund-Play Memanah di parkir MJBBU dan Kursus Asas Jenazah Muslimin di Dewan Suliman MJBBU yang telah disampaikan dan dibimbing oleh Ustaz Kamal Ariff bin Mohd Bakri dan Imam Mohd Misran.

Di waktu petang pula, masjid mengadakan Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak oleh Tadika RSQ dan ramai kanak-kanak berpeluang memenangi pelbagai hadiah lumayan. Disamping itu kanak-kanak dan ibu bapa yang terlibat juga dihiburkan dengan kraf belon oleh Pak Kadut. Program ini juga diserikan dengan kehadiran pegawai Bomba yang memberi pencerahan berkenaan kebakaran kepada kanak-kanak dan ibu bapa dan demonstrasi alat pemadam api di perkarangan masjid.

Di waktu yang sama, Pertandingan Tulisan Khat telah diadakan di Dewan Suliman MJBBU dengan penyertaan dari kanak-kanak dan dewasa ahli kariah BBU. Sambutan ini diteruskan lagi dengan Kuliah Maghrib Khas Hari Thaqafah dengan tajuk Fiqh al-Hijrah yang telah disampaikan oleh Ustaz Ahmad Syukri bin Subahan.

Sambutan Maal Hijrah 1445H di MJBBU ini akan diteruskan dengan 3 buah pertandingan sukan yang bertujuan mengeratkan silaturahim di antara ahli kariah BBU dan masyarakat sekitar. Di antara pertandingan tersebut ialah Pertandingan Badminton, Pertandingan Pingpong dan kedua-duanya akan dilaksanakan serentak pada hari Jumaat bersamaan 28 Julai 2023, jam 9.00 pagi di Dewan Jubli Perak BBU serta Pertandingan Bowling akan diadakan pada tarikh dan waktu yang sama di Sahara Bowling Angsana (Level 5) yang mana pertandingan ini khusus untuk muslimat.

Bagi yang ingin menyertai pertandingan-pertandingan sukan ini, boleh mendaftar di pautan berikut atau hubungi PIC yang ditetapkan:
• Pertandingan Badminton: https://forms.gle/WunN5E5XaSbAZRsY7
• Pertandingan Pingpong: https://forms.gle/PMicUfde6jVC4eiEA
• Pertandingan Bowling: wassap.my/01113321201

Pihak masjid mengucapkan jutaan terima kasih di atas penyertaan para jemaah, ahli kariah BBU dan masyarakat sekitar ke program-program sambutan Maal Hijrah 1445H anjuran MJBBU kali ini. Semoga dengan keterlibatan semua, dapatlah mengimarahkan masjid ini sekaligus menghidupkan rumah Allah SWT. Bersempena dengan tahun baru Hijrah ini marilah kita menetapkan keimanan dengan meningkatkan ibadah serta mengislahkan umat dan masyarakat ke arah kebaikan.

قال الشيخ صفي الرحمن المباركفوري: لم يكن معنى الهجرة هو التخلص من الفتنة والإستهزاء فحسب، بل كانت الهجرة مع هذا تعاونا على إقامة مجتمع جديد في بلد آمن. ولذلك أصبح فرضا على كل مسلم قادر أن يسهم في بناء هذا الوطن الجديد، وأن يبذل جهده في تحصينه ورفعة شأنه (الرحيق المختوم: 177)

Mafhumnya kata al-Syeikh Sofiurrahman al-Mubarakfuri: "Al-Hijrah bukan bermaksud melepaskan diri dari fitnah dan ejekan (kaum musyrikin) semata-mata, bahkan al-Hijrah ialah bersama bertolongan di atas mendirikan sebuah masyarakat baru di dalam sebuah negara yang aman damai. Oleh yang demikian itu menjadi satu kefarduan ke atas setiap muslim yang mampu untuk menyumbang (tenaga) membina watan baru, mengorbankan seluruh tenaga dan sedaya upaya mempertahankannya, menjaga keutuhannya dan mengangkat martabatnya."