بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

PROGRAM HARI ASYURA 1445H DI MJBBU

Alhamdulillah Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) telah mengadakan program sempena hari Asyura 1445H Jumaat yang lalu (28 Julai 2023). Program kali ini disekalikan dengan aktiviti-aktiviti sempena sambutan Maal Hijrah 1445H, telah mendapat sambutan yang baik dari ahli kariah BBU dan masyarakat sekitar.

Di antara pengisian di hari Asyura 1445H kali ini ialah pertandingan-pertandingan bersempena Maal Hijrah 1445H, Tazkirah Jumaat Khas dan Kuliah Khas Hari Asyura. Tiga pertandingan telah diadakan dengan objektif mengeratkan hubungan silaturahim termasuklah Pertandingan Badminton dan Pingpong dan diadakan di Dewan Jubli Perak BBU, manakala Pertandingan Bowling Muslimat diadakan di Sahara Bowling Angsana Mall. Penyertaan di dalam pertandingan-pertandingan ini amat memuaskan dengan seramai 90 penyertaan.

Bagi Tazkirah Jumaat Khas hari Asyura telah disampaikan oleh Ustaz Nor Salam bin Abu Bakar dengan menjelaskan beberapa peristiwa di hari Asyura memberikan kefahaman tentang kemuliaan hari Asyura. Program hari Asyura 1445H diteruskan lagi dengan Majlis Bacaan al-Waqiah yang dipimpin oleh Imam-imam dan Bilal-bilal MJBBU dan selepas itu jemaah disajikan ilmu berkenaan fadilat hari Asyura yang disampaikan oleh Ustaz Zaieme bin Mohamad. Program diakhiri dengan Iftar Jamaie selepas para jemaah menunaikan solat fardu Maghrib berjemaah.

Semoga para jemaah sekalian, ahli kariah BBU dan masyarakat sekitar yang menyertai program dan aktiviti-aktiviti sempena Maal Hijrah 1445H dan hari Asyura 1445H mendapat pelbagai manfaat dan digandakan balasan pahala di atas amalan sunah sepanjang hari Asyura khususnya dan bulan Muharam yang suci umumnya.

قال العلامة أبي بكر بن محمد شطا الدمياطي البكري: ويسن متأكدا صوم يوم عاشوراء لقوله ﷺ فيه: أحتسب على الله أن يكفر السنة التي قبله

Mafhumnya kata al-Allamah al-Syeikh Abu Bakar bin Muhammad Syata al-Dimyati al-Bakri: "Dan sunat muakad berpuasa pada hari Asyura kerana sabda Baginda SAW padanya: ((Dan berpuasa pada hari Asyura) sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah SWT agar ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang sebelumnya))."

وقد عدها بعضهم اثنتي عشرة خصلة، وهي الصلاة، والصوم، وصلة الرحم، والصدقة والاغتسال، والاكتحال، وزيارة عالم، وعيادة مريض، ومسح رأس اليتيم، والتوسعة على العيال، وتقليم الاظفار، وقراءة سورة الاخلاص - ألف مرة (إعانة الطالبين: 2/445)

Mafhumnya: "Dan sebahagian mereka (para ulama) menghitung sifat amalan di hari Asyura dengan 12 perkara iaitu: (1) bersolat; (2) berpuasa; (3) menyambung silaturahim; (4) bersedekah; (5) bersuci; (6) bercelak; (7) menziarahi orang alim; dan (8) mengunjungi orang sakit; (9) menyapu kepala anak yatim; (10) meluaskan atas (nafkah) keluarga; (11) memotong kuku; dan (12) membaca Surah al-Ikhlas sebanyak 1,000 kali."