بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

MAJLIS SAMBUTAN & PENGHARGAAN JUBLI PERAK MJBBU & YMJBBU

Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) telah mengadakan Majlis Sambutan & Penghargaan Jubli Perak MJBBU & YMJBBU semalam (23 Ogos 2023) dan telah mendapat sambutan yang amat baik dikalangan ahli kariah masjid. Sambutan majlis ini adalah mendedikasikan penghargaan kepada mantan ahli jawatankuasa masjid, sukarelawan dan kakitangan masjid yang telah berkhidmat sejak penubuhan masjid sehinggalah tahun 2022.

Majlis telah bermula jam 6.30 petang dengan bacaan Yasin, tahlil dan zikir munajat bersempena arwah mantan pengkhidmat masjid ini yang telah meninggal dunia dan ia dipimpin oleh Imam Haji Mohd Kamal bin Zakaria, Imam Mohd Shaiful bin Mohd Esa dan Bilal Zulfikri Amin bin Zulkifli.

Seusai solat fardu Maghrib berjemaah, majlis penghargaan ini dibuka serta dipimpin oleh Pengerusi Majlis, Imam Nur Ikhmal Hakim bin Sabarudidn. Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Imam Mohammad Hakimin bin Mohd Fazarin, seterusnya ucapan alu-aluan oleh Pengerusi MJBBU, Ustaz Haji Md Burhanuddin bin Haji Tibek dan ucaptama oleh Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, YB Tuan Haji Mohd Fared bin Haji Mohd Khalid.

Majlis diserikan lagi dengan tayangan video montaj bersempena 25 tahun Jubli Perak MJBBU & YMJBBU, sebelum memberi laluan azan Isyak dikumandangkan. Bagi kemuncak program, majlis diteruskan dengan penyerahan sijil penghargaan dan cenderahati kepada wakil mantan ahli jawatankuasa penubuhan masjid, pentadbiran masjid, sahabat sukarelawan masjid dan kakitangan masjid oleh YB Tuan Haji Mohd Fared bin Haji Mohd Khaled yang diiringi oleh Pengerusi Bersama majlis, Ustaz Haji Md Burhanuddin bin Haji Tibek dan Haji Mohd Shafie bin Abd Rashid, Pengerusi Yayasan MJBBU. Bagi wakil mantan muslimat pula telah diserahkan oleh Puan Nur Hafizah binti Mohamed dan diiringi oleh Pengerusi Helwa MJBBU, Puan Norizan binti Tarmeze dan Penolong Setiausaha MJBBU, Puan Alwani binti Mohamad Sabri.

Majlis diakhiri dengan solat fardu Isyak berjemaah dan para hadirin serta tetamu jemputan menjamu selera di ruang aras 1 masjid. Para petugas dan sukarelawan turut membantu menjamukan makanan kepada hadirin serta memberikan cenderahati bagi semua yang hadir.

Semoga Allah SWT memberkati mantan ahli jawatankuasa, sukarelawan dan kakitangan masjid ini yang telah berkhidmat dengan harta dan tenaga membina dan memajukan masjid ini serta kariah agar terbangun masyarakat yang cemerlang.

قال رسول الله ﷺ: أحب البلاد إلى الله مساجدها

Mafhumnya sabda Baginda SAW: "Negeri (tempat) yang paling dicintai oleh Allah SWT adalah masjid-masjidnya."

قال الإمام النووي: أحب البلاد إلى الله مساجدها لأنها بيوت الطاعات وأساسها على التقوى (شرح صحيح مسلم النووي 2/151)

Mafhumnya kata al-Imam al-Nawawi RHM: "Negeri (tempat) yang paling dicintai Allah ialah masjid-masjid-Nya kerana ia adalah tempat (yang dilakukan) ketaatan dan diasaskan di atas ketakwaan."