بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
HARI KEBANGSAAN: MENCINTAI TANAH AIR
Mencintai tanah air merupakan fitrah setiap kehidupan dan setiap manusia pasti mencintai negerinya walau seburuk apa pun ia. Bahkan Islam menganjurkan kita untuk memupuk rasa cinta akan tanah air dan seterusnya membangunkannya dan mempertahankannya.
Firman Allah SWT di dalam Surah al-Qasas:
إِنَّ الَّذِي فَرَضَ عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لَرَادُّكَ إِلَىٰ مَعَادٍ قُل رَّبِّي أَعْلَمُ مَن جَاءَ بِالْهُدَىٰ وَمَنْ هُوَ فِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ
Maksudnya: "Sesungguhnya Allah yang mewajibkan kepadamu (beramal dan menyampaikan) al-Quran (wahai Muhammad) sudah tentu akan menyampaikan engkau lagi kepada apa yang engkau ingini dan cintai (Mekah al-Mukaramah). Katakanlah (kepada kaum yang menentangmu): "Tuhanku amat mengetahui akan sesiapa yang membawa hidayah petunjuk dan sesiapa pula yang berada dalam kesesatan yang nyata."
Al-Syeikh Ismail Haqi al-Barusawy menghuraikan bahawa ayat ini memberi petunjuk untuk mencintai tanah air dan ia merupakan tanda keimanan. Kata al-Syeikh di dalam tafsirnya:
وفي تفسير الآية إشارة إلى أن حب الوطن من الإيمان وكان عليه السلام يقول كثيرا الوطن الوطن فحقق الله سؤله
Mafhumnya: "Dan di dalam tafsir ayat memberi isyarat bahawa seusngguhnya mencintai tanah air adalah sebahagian tanda keimanan dan Baginda SAW banyak menyebut: "Tanah air, tanah air", lalu Allah SWT mengabulkan permintaannya."
يقال: الإبل تحن إلى أوطانها وإن كان عهدها بعيدا والطير إلى وكره وإن كان موضعه مجدبا والإنسان إلى وطنه وإن كان غيره أكثر نفعا
Mafhumnya: "Dikatakan: "Unta menangis merindukan tanah airnya sekalipun tempuhnya jauh, burung pula pada sarangnya sekalipun tempatnya gersang dan manusia kepada tanah airnya sekalipun tempat lain itu lebih banyak manfaat."
Justeru semangat mencintai tanah air ini seharusnya di tanam ke dalam jati diri masyarakat. Ini bukan sahaja tanda keimanan bahkan menjamin keluhuran dan kestabilan negara kerana hilangnya semangat patriotisme ini akan menimbulkan keretakan kedamaian.
Al-Syeikh menukilkan kata-kata Sayidina Umar RA:
قال عمر رضي الله عنه : لولا حب الوطن لخرب بلد السوء فبحب الأوطان عمرت البلدان
Mafhumnya: "Kata Sayidina Umar RA: "Sekiranya bukan kerana cinta akan tanah air, nescaya akan binasa negeri yang penuh kejahatan. Maka dengan cinta akan tanah air termakmurlah negeri-negeri tersebut."
Oleh itu marilah sama-sama kita menghayati kemerdekaan negara kita dengan meneladani sejarah dan para pejuang kemerdekaan negara yang berjuang dan memastikan kedaulatan dan kehormatan negara kita terjamin sehingga kini.
Semoga dengan penghayatan ini memberikan kesungguhan kepada kita untuk turut berjuang membangunkan masyarakat dengan memberi manfaat kepada umat dan negara seterusnya mengangkatkan martabat dan keutuhannya.