بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

PERISTIWA MAULID AL-NABI ﷺ DI BULAN RABIULAWAL: 28 SEPTEMBER 2023

Bulan Rabiulawal merupakan bulan yang istimewa kerana pada bulan ini, lahirnya junjungan agung Rasulullah SAW. Kelahiran Baginda SAW menjadi titik khatam kenabian dan penyambungan risalah keesaan Allah SWT yang berperanan mengeluarkan umat manusia dari kancah kejahilan, kemaksiatan dan kezaliman kepada cahaya keilmuan, ketaatan dan rahmat.

Menjelang kelahiran Nabi SAW, telah terzahir berbagai keajaiban dan mukjizat di seluruh alam. Bahkan sebelum kelahiran Baginda SAW, ibunya Sayidatina Aminah RA dikurniakan peristiwa-peristiwa yang luar biasa.

Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata di dalam risalahnya:

وكان مولده ليلة الاثنين لاثنتى عشرة ليلة خلت من شهر ربيع الاول قد اظهر الله على يديه المعجزات الباهرات

Mafhumnya: "Dan Baginda SAW, kelahiran Baginda pada malam Isnin, 12 malam dari bulan Rabiulawal. Sungguh Allah SWT menzahirkan di atas kekuasaannya mukjizat yang hebat."

Al-Imam menukilkan sebuah hadis:

وفي حديث ابن عباس رضي الله عنهما انه قال: كانت آمنة تحدث وتقول :اتاني آت حين مر بي من حملي ستة اشهر في المنام وقال: انك حملت بسيد العالمين فاذا ولدته فسميه محمدا واكتمي شانك

Mafhumnya: "Dan di dalam hadis Ibn Abbas RA, beliau berkata: "Sayidatina Aminah RA telah menceritakan dan berkata: "Telah datang seseorang kepadaku di dalam mimpiku selama 6 bulan kehamilanku dan dia berkata: "Sesungguhnya engkau telah mengandungkan Sayyid al-Alamin. Apabila engkau melahirkannya, maka namakanlah Baginda Muhammad."

Al-Imam menukilkan sebuah hadis dari al-Waqidi RHM bahawa di bulan Rabiulawal sebelum kelahiran junjungan Baginda SAW, Sayidatina Aminah RA dikurniakan pelbagai keajaiban di setiap malam sehingga kelahiran Baginda SAW. Di antaranya beliau diberikan ketenangan dan rasa gembira, melihat Nabi Ibrahim AS di dalam mimpinya, melihat cahaya-cahaya Nabi SAW di penjuru alam, mendengar seruan tasbih dari para malaikat, seruan puji-pujian kepada Nabi SAW, dikunjungi para malaikat serta empat wanita termasuklah Sayidatina Hawa Umm al-Basyar, Sarah isteri Nabi Ibrahim AS dan sebagainya peristiwa keluarbiasaan lain.

Bahkan selepas kelahiran Baginda SAW, masyhur para ulama menceritakan banyak peristiwa besar yang berlaku seperti muncul gegaran kuat di istana Kisra, Parsi sehingga menyebabkan 14 anjung istana berkenaan runtuh serta keringnya Tasik Sawa yang sebelum itu dipenuhi air membolehkan kapal besar berlayar. Keagungan kelahiran Baginda SAW juga menyaksikan api sembahan kaum Majusi di Parsi yang dikatakan menyala sejak 1,000 tahun, terpadam dengan takdir Allah SWT.

Justeru itu, dengan kedatangan bulan Rabiulawal kali ini, marilah sama-sama kita menjiwai keagungan Nabi SAW yang mana Baginda SAW adalah sebaik-baik makhluk Allah SWT. Marilah perbanyakkan selawat serta puji-pujian kepada Baginda SAW.