بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
RASULULLAH ﷺ: RAHMAT SELURUH ALAM
Rasulullah SAW merupakan seafdal makhluk yang diciptakan Allah SWT melebihi ciptaan yang lain. Ini kerana Baginda SAW adalah rahmat kepada seluruh alam. Justeru memberi rahmat kepada segala makhluk seperti manusia, jin termasuklah malaikat.
Firman Allah SWT:
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
Maksudnya: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."
Al-Imam al-Samarqandi menghuraikan dari ayat ini bahawa rahmat Rasulullah SAW adalah kepada seluruh makhluk Allah SWT yakni manusia dan jin. Sebahagian ulama mentafsirkan rahmatnya Rasulullah SAW adalah kepada tiga golongan iaitu rahmat bagi umat Islam, golongan munafik dan kafir.
Rahmat bagi orang beriman adalah dengan hidayah, rahmat bagi orang munafik pula adalah dengan terhalang mereka dari diperangi dan rahmat bagi orang kafir adalah dengan penangguhan azab.
Al-Syeikh Qadi ‘Iyad al-Yahsubi menukilkan sebuah riwayat bagaimana rahmat Nabi SAW juga memberi kebaikan kepada malaikat:
وحكي أن النبي صلى الله عليه وسلم قال لجبريل عليه السلام: هل أصابك من هذه الرحمة شيء؟ قال: نعم، كنت أخشى العاقبة فأمنت لثناء الله عز وجل علي بقوله: ذِي قُوَّةٍ عِندَ ذِي الْعَرْشِ مَكِينٍ (20) مُّطَاعٍ ثَمَّ أَمِينٍ (21)
Mafhumnya: "Dan diceritakan bahawa Nabi SAW berkata kepada Jibril AS: "Adakah telah menimpa engkau sesuatu dari rahmat ini?" Jibril AS menjawab: "Ya, aku khuatir akan kesudahan di penghujung, lalu aku berasa aman kerana pujian Allah SWT ke atasku dengan firmanNya: ''(Jibril AS utusan Kalamullah) yang kuat gagah, lagi berkedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai Arasy. Yang ditaati di sana (dalam kalangan malaikat), lagi dipercayai.''"
Demikian juga huraian al-Syeikh Abu Bakar Muhammad bin Tahir terhadap ayat ini bahawa rahmat Baginda SAW akan menyelamatkan umat ini di akhirat kelak apatahlagi ketika mana Baginda SAW hidup di dunia ini hatta kewafatan Baginda melalui aspek-aspek keperibadian dan sifat-sifat kesempurnaan Baginda SAW, kesemuanya kebaikan dan rahmat kepada umat ini.
Oleh itu, lazimilah selawat kepada Rasulullah SAW. Jiwailah keagungan Baginda SAW agar tertanam rasa cinta kepada Nabi SAW, seterusnya dibangkitkan kelak dengan rahmat dan syafaat Baginda SAW.
Bersempena dengan kehadiran Rabiulawal yang mulia ini, marilah sama-sama kita menelusuri jejak kehidupan Baginda SAW dengan membaca silsilah, sirah dan maulid Baginda SAW.