بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SAW 1445H/2023

Alhamdulillah bersempena dengan kedatangan bulan mulia Rabiulawal kerana kelahiran junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, Masjid Jamek Bandar Baru Uda dengan kerjasama surau-surau Bandar Baru Uda telah mengadakan program Sambutan Maulidur Rasul SAW 1445H/2023. Sambutan ini diadakan sebanyak 3 hari, bermula hari Rabu (27 September), Sabtu (30 September) dan semalam (03 Oktober 2023).

Sambutan Maulidur Rasul tahun ini mendapat sambutan yang baik dikalangan ahli kariah Bandar Baru Uda dengan kehadiran yang amat memuaskan dari para jemaah di dalam program bacaan berzanji dan ceramah Maulid. Manakala pertandingan-pertandingan bersempena sambutan Maulid mendapat sambutan dan penyertaan yang penuh dari kalangan kanak-kanak, remaja dan golongan dewasa muslimat.

Sambutan Maulidur Rasul SAW 1445H/2023 kali ini bermula dengan program Bacaan Berzanji, Selawat & Zikir Munajat yang dipimpin oleh Bilal-bilal MJBBU pada hari Rabu. Pada hari Sabtu pula diadakan Pertandingan Sempena Maulidur Rasul SAW termasuklah pertandingan azan, khutbah, hafazan, berzanji, marhaban muslimat dan deklamasi sajak. Bagi kemuncak sambutan Maulidur Rasul SAW kali ini, diakhiri program Ceramah Perdana Maulidur Rasul SAW semalam, yang telah disampaikan oleh Ustaz Dr. Mohd Syafiq bin Sahimi, pensyarah UTHM.

Pihak masjid mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada para jemaah masjid dan surau-surau kariah BBU dan masyarakat setempat Johor Bahru yang telah menyertai serta menginfakkan harta dan tenaga di dalam penganjuran program-program Sambutan Maulidur Rasul SAW bagi tahun 1445H/2023 kali ini.

Semoga dengan penglibatan ini, para hadirin dapat menambahkan ilmu dan memupukkan kasih sayang dan cinta serta rindu kepada junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, kerana tiadalah penglibatan semua dalam menyambut Maulid al-Nabi SAW melainkan rasa cinta serta memuji Baginda SAW.

قال سلطان العارفين جلال الدين السيوطي في كتابه الوسائل في شرح الشمائل: ما من بيت أو مسجد أو محلة قرئ فيه مولد النبي ﷺ هلا حفت الملائكة بأهل ذلك المكان وعمهم الله بالرحمة

Mafhumnya: "Kata Sultan al-'Arifin al-Imam Jalaluddin al-Suyuti di dalam kitabnya al-Wasail fi Syarh al-Syamail: "Tiada satu rumah atau masjid atau tempat yang dibacakan di dalamnya Maulid al-Nabi SAW melainkan para malaikat akan mengelilingi ahli tempat tersebut dan Allah SWT akan melimpahkan mereka dengan rahmatNya."

قال السري السقطي: من قصد موضعا يقرأ فيه مولد النبي ﷺ فقد قصد روضة من رياض الجنة لأنه ما قصد ذلك الموضع إلا لمحبة الرسول وقد قال عليه السلام: من أحبني كان معي في الجنة

Mafhumnya kata al-Imam al-Sirri al-Saqati: "Barangsiapa menghadiri suatu tempat dibacakan Maulid al-Nabi SAW di dalamnya, maka sesungguhnya dia telah menghadiri salah satu taman dari taman-taman syurga kerana tidak dia hadir ke tempat itu melainkan kerana cinta kepada Rasul. Dan Rasulullah SAW telah bersabda: "Barangsiapa mencintaiku, akan bersamaku di dalam syurga."

قال الحسن البصري قدس الله سره: وددت لو كان لي مثل جبل أحد ذهبا لانفقته على قراءة مولد الرسول (إعانة الطالبين 3/613)

Mafhumnya kata al-Imam Hasan al-Basri: "Sekiranya aku mempunyai emas setinggi bukit Uhud, nescaya aku akan membelanjakannya untuk meraikan majlis membaca Maulid al-Rasul SAW."