بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
KURSUS ASAS HAJI (KAH) 1445H DI MJBBU
Alhamdulillah telah bermula siri 1 bagi Kursus Asas Haji (KAH) anjuran Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) bagi sesi 1445H/2023 di Dewan Solat Utama MJBBU pada Rabu yang lalu (01 November 2023. Kursus ini mendapat sambutan yang baik dikalangan jemaah kariah MJBBU dan sekitar khususnya bagi jemaah yang bakal melaksanakan ibadah haji bagi tahun 1445H ini.
Kursus ini merupakan kursus tahunan dan bagi sesi kali ini akan berjalan sebanyak 13 siri pada setiap Rabu, selepas Isyak, bermula 01 November 2023 sehingga 31 Januari 2024. Bagi siri pertama ini disampaikan oleh Ustaz Haji Mohd Hambali bin Abd Rahman selaku PEKTA TH dan pengkursus kedua ialah Ustaz Haji Ismail bin Md Ali.
Seramai 330 peserta telah hadir bagi siri pertama ini dan siri kedua akan dilaksanakan pada Rabu ini, 08 November 2023. Pihak masjid mengucapkan ribuan tahniah kepada para peserta kerana menyertai dan mengimarahkan masjid ini seterusnya istiqamah berada di dalam majlis ilmu.
قال رسول الله ﷺ: إذا مررتم برياض الجنة فارتعوا قيل وما رياض الجنة قال مجالس الذكر
Mafhumnya Rasulullah SAW bersabda: "Apabila kamu melalui taman-taman syurga, maka duduklah." Para sahabat bertanya: "Dan apakah taman-taman syurga itu?" Baginda SAW menjawab: "Iaitulah halaqah-halaqah zikir (majlis ilmu)."
وقال عطاء: حلق الذكر هي مجالس الحلال والحرام كيف تشتري وكيف تصلي وكيف تزكي وكيف تحج وكيف تنكح وكيف تطلق وما أشبه ذلك والمراد معرفة كيفية الصلاة والزكاة والحج وذلك يكون بمعرفة أركانها وشروطها ومفسداتها (إعانة الطالبين: 1/30)
Mafhumnya kata al-Imam Atha: "Halaqah-halaqah zikir ialah majlis halal dan haram (majlis ilmu), bagaimana engkau membeli, bersembahyang, (mengeluarkan) zakat, menunaikan haji, bernikah mentalak dan sebagainya. Yang dimaksudkan (majlis ilmu) ialah mengetahui cara sembahyang, zakat dan haji dan demikian itu (hanya dapat diketahui) dengan mengetahui rukun-rukunnya, syarat-syaratnya dan perkara yang membatalkannya."