بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
MAJLIS PENGKHATAMAN KITAB: DAURAH AL-TURATHIAH FIQH AL-QAUL AL-TAM FI AHKAM AL-MAKMUM WA AL-IMAM
Alhamdulillah telah selesai pengajian kitab bagi Daurah al-Turathiah MJBBU kali ini, kitab Al-Qaul al-Tam fi Ahkam al-Makmum wa al-Imam karangan al-Syeikh Ibn al-Imad Yusuf al-Misri al-Aqfahasi bersama Ustaz Mohamad Akmal bin Sohar di Dewan Suliman MJBBU. Program ini telah berlangsung bermula 19 Disember 2022 dan dilaksanakan secara bersiri setiap minggu dan selesai pengajian dan majlis pengkhataman pada semalam.
Daurah ini telah dilaksanakan setiap hari Isnin pada jam 9.00 malam. Seramai 38 orang yang telah menyertai daurah kali ini secara bersemuka dan daurah ini juga telah disiarkan secara langsung di page Facebook Masjid Jamek Bandar Baru UDA bagi yang mempunyai keuzuran untuk menghadiri pengajian.
Pihak masjid mengucapkan tahniah di atas kesungguhan para pelajar yang telah menyertai daurah kali ini dan mengharapkan para pelajar dapat menerapkan serta mengaplikasikan apa yang telah dipelajari agar sahih amal dan ibadah solat kita, seterusnya makbul setiap ibadah kita disisi Allah SWT.
قال الامام زين الدين المليباري: وتعلمن علما يصحح طاعة ∴ وعقيدة ومزكي القلب اصقلا هذا الثلاثة فرض عين فاعرفن ∴ واعمل بها تحصل نجاة واعتلا
Mafhumnya kata al-Imam Zainuddin al-Malibari: "Dan pelajarilah ilmu yang mengesahkan ketaatan (fiqh), (mengesahkan) akidah dan mensucikan hati dengan bersih (tasawuf). Ketiganya ini adalah fardu ain, maka ketahuilah dan amalkannya agar terhasil keselamatan dan kemuliaan."
قال العلامة أبي بكر بن السيد محمد شطا الدمياطي البكري: يعني يجب عليك أيها السالك الراغب فيما يوصلك الى رضا الله ورسوله أن تتعلم علما يصحح طاعتك وعبادتك من وضوء وصلاة وصوم وزكاة وحج ومعاملة على وفق الشريعة المطهرة إذ العمل من غير علم باطل
Mafhumnya kata al-Allamah Abu Bakar Muhammad Syata al-Dimyati al-Bakri: "Yakni wajib ke atas engkau wahai para salik yang mendambakan pada apa yang menyampaikan engkau ke reda Allah dan RasulNya bahawa engkau mempelajari ilmu mengesahkan ketaatan dan ibadah engkau antara wuduk, solat, puasa, zakat, haji dan muamalat atas sesuai syariat yang suci kerana amal dari tanpa ilmu batil."
قال الإمام ابن رسلان الشافعي: وكل من بغير علم يعمل ∴ أعماله مردودة لا تقبل (كفاية الاتقياء 60)
Mafhumnya al-Imam Ibn Ruslan al-Syafie RHM berkata: "Setiap orang yang beramal tanpa ilmu, pasti amalnya tertolak dan tidak diterima (amalnya)."