بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
LAWATAN & ZIARAH: MASJID KOLAM AYER, KAMPUNG NONG CHIK, JOHOR BAHRU
Pihak Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) menerima kunjungan dan lawatan dari Ahli Jawatankuasa Masjid Kolam Ayer, Kampung Nong Chik, Johor Bahru pada hari ini bagi tujuan menziarahi masjid dan mengambil tahu maklumat, pengurusan serta pentadbiran, fasiliti-fasiliti dan aktiviti-aktiviti masjid, sekaligus mengeratkan hubungan silaturahim.
Lawatan yang berlangsung pada jam 10.00 pagi ini telah diadakan di Bilik Mesyuarat MJBBU dan telah berjalan dengan lancar. Majlis bermula dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Imam Nur Ikhmal Hakim bin Sabarudin, diteruskan dengan ucapan dan kata aluan oleh Pengerusi MJBBU, Ustaz Md Burhanuddin bin Haji Tibek dan Pengerusi Masjid Kolam Ayer, Dato' Haji Marsan bin Kassim dan sesi taklimat pengenalan MJBBU kepada pihak Masjid Kolam Ayer yang disampaikan oleh Pengurus MJBBU, Tuan Haji Ab Rashid bin Bukhairah.
Di dalam sesi taklimat ini juga turut diselangi dengan soal jawab di antara kedua-dua pihak bagi perkongsian maklumat dan ilmu di dalam pengurusan serta pentadbiran masjid. Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata dari pihak masjid oleh Pengerusi MJBBU, Ustaz Md Burhanuddin bin Haji Tibek kepada Masjid Kolam Ayer dan Ahli Jawatankuasa. Majlis ditutupi dengan sesi bergambar dan jamuan.
Pihak masjid mengalu-alukan kehadiran para pelawat bagi tujuan berkenalan dan pengimarahan masjid ini. Semoga masjid ini menjadi pusat pengimarahan bagi keseluruhan masyarakat di dalam dan luar negara.
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: أحب البلاد إلى الله مساجدها
Mafhumnya sabda Rasulullah SAW: "Negeri (tempat) yang paling dicintai oleh Allah SWT adalah masjid-masjidnya."
قال الإمام النووي رحمه الله تعلى عنه: أحب البلاد إلى الله مساجدها لأنها بيوت الطاعات وأساسها على التقوى (شرح صحيح مسلم النووي 5/171)
Mafhumnya kata al-Imam al-Nawawi: "Negeri (tempat) yang paling disukai Allah Taala ialah masjid-masjidNya kerana ia adalah tempat (yang dilakukan) ketaatan dan asasnya di atas ketakwaan."