بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
BERMULA DAURAH AL-TURATHIAH TASAWUF MUTIARA MINHAJ AL-ABIDIN
Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) di bawah Biro Pengimarahan MJBBU telah mengadakan Daurah al-Turathiah dan bagi sesi ke-3 kali ini memfokuskan fardu ain bidang Tasawuf, setelah selesai sesi-sesi sebelum ini yang membicarakan Akidah dan Fiqh.
Kelas pertama telahpun bermula semalam, selepas Isyak di Dewan Suliman MJBBU dan telah mendapat sambutan yang baik dari jemaah dan masyarakat sekitar Johor Bahru, dengan penyertaan seramai 64 orang.
Daurah kali ini dipimpin oleh Ustaz Mohd Shafie bin Abd Rahman dan kitab yang dikupaskan bertajuk Mutiara Minhaj al-Abidin, karangan Ustaz Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaluddin.
Daurah ini turut disiarkan secara langsung di Facebook Masjid Jamek Bandar Baru UDA bagi yang mempunyai sebarang keuzuran untuk hadir. Namun penyediaan sijil adalah bagi yang sertai secara fizikal dan bersemuka.
Kitab ini mengetengahkan kewajipan dan keperluan serta hukum fardu ain bagi setiap mukallaf untuk mempelajari ilmu yang mensucikan hati dan memelihara hati dari sifat-sifat mazmumah sebagaimana kewajipan sebagai seorang hamba beriktikad keesaan, ketunggalan dan ketiadaan penyerupaan Allah taala serta beribadah berdasarkan syariat Allah, Rasulullah SAW sepertimana digariskan ulama muktabar.
Pihak masjid mengucapkan tahniah di atas penyertaan para pelajar bagi sesi daurah kali ini dan mengharapkan para pelajar dapat istiqamah hadir dan sertai majlis ilmu ini sehingga selesai pengajian.
قال الامام زين الدين المليباري: وتعلمن علما يصحح طاعة ∴ وعقيدة ومزكي القلب اصقلا هذا الثلاثة فرض عين فاعرفن ∴ واعمل بها تحصل نجاة واعتلا
Mafhumnya kata al-Imam Zainuddin al-Malibari: "Dan pelajarilah ilmu yang mengesahkan ketaatan (fiqh), (mengesahkan) akidah dan mensucikan hati dengan bersih (tasawuf). Ketiganya ini adalah fardu ain, maka ketahuilah dan amalkannya agar terhasil keselamatan dan kemuliaan."
قال الشيخ ابي بكر شطا الدمياطي البكري: ويجب عليك أيضا أن تتعلم علما يزكى القلب و يطهره من الأخلاق الذميمة كالكبر والرياء والحسد والحرص وغيرها من أمراض القلب (كفاية الأتقياء: 60)
Mafhumnya kata al-Allamah al-Syeikh al-Imam Abu Bakar al-Dimyati al-Bakri: "Dan wajib ke atas engkau juga (wahai salik) bahawa engkau mempelajari ilmu yang menyucikan hati dan membersihkannya dari akhlak yang tercela seperti sombong, riak, hasad, rakus (kepada dunia) dan sebagainya dari jenis penyakit-penyakit hati."