بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
MAJLIS KHATAM AL-QURAN PERDANA 1445H & DEMIMU PALESTIN
Alhamdulillah, telah selesai Majlis Khatam Al-Quran Perdana bagi tahun 2023 ini anjuran Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) dan majlis ini telah diadakan pada Sabtu lalu (30 Disember 2023). Majlis ini telah mendapat sambutan yang baik dari jemaah masjid serta masyarakat sekitar dan telah berjalan dengan lancar.
Majlis ini diadakan bagi melazimkan jemaah kariah dengan program bacaan al-Quran dan khatam al-Quran secara tahunan serta meraikan pengkhataman al-Quran oleh kumpulan-kumpulan tadarus Muslimat di Bandar Baru Uda. Bagi majlis kali ini, jemaah turut didedahkan dengan pengetahuan dan penghayatan terhadap isu-isu di Palestin yang dikancah peperangan serta kezaliman Zionis Israel terhadap umat Islam di sana.
Majlis telah bermula pada jam 9.15 pagi dengan ucapan aluan Pengerusi Majlis oleh Bilal Muhammad Hazim Zaim bin Dandan, diikuti bacaan doa pembukaan majlis oleh Imam Muhammad Hakimin bin Mohd Fazarin dan diteruskan dengan ucapan Pengurus MJBBU, Tuan Haji Ab Rashid bin Bukhairah. Majlis diteruskan dengan ucapan serta penerangan kaifiyat tadarus dan pengkhataman al-Quran oleh Ketua Imam MJBBU, Imam Haji Mohd Kamal bin Zakaria.
Majlis diteruskan lagi dengan bacaan al-Quran melalui pembahagian muka surat oleh kesemua peserta yang hadir serta sesi pengkhataman al-Quran dan ditutupi dengan bacaan doa khatam al-Quran oleh Imam-imam MJBBU, Imam Mohd Shaiful bin Mohd Esa dan Imam Nur Ikhmal Hakim bin Sabaruddin. Bagi kemuncak program, majlis diteruskan lagi dengan program Mini Halaqah bersama qari jemputan, Qari Ahmad Solihin bin Bahrin dan pentadabbur, Ustaz Dr. Mohd Syafiq bin Sahimi, yang mentadabburkan Surah al-Ahzab ayat 24. Para jemaah boleh ikuti rakaman siaran langsung majlis khatam dan program mini halaqah ini di Facebook Masjid Jamek Bandar Baru Uda.
Majlis diakhiri dengan penyampaian saguhati kepada qari dan penceramah jemputan serta agihan bungkusan jamuan kepada semua peserta yang hadir. Sepanjang program berlangsung, masjid juga menjemput Yayasan al-Quds Malaysia membuka booth dan pameran bagi berkongsi kepada jemaah isu-isu dan fakta-fakta peperangan Palestin-Zionis Israel serta jajahan, penindasan dan kekejaman mereka terhadap umat Islam di Palestin yang meragut puluh ribu nyawa dan majoritinya adalah kanak-kanak yang tidak berdosa.
Di kesempatan ini, masjid menyediakan tabung khas bagi para jemaah menyumbangkan harta dan wang sebagai bantuan kemanusiaan kepada warga Palestin. Masjid akan menyediakan tabung ini selama tiga (3) hari bermula hari Sabtu sehingga Isnin dan bantuan tersebut akan disalurkan ke badan-badan autoriti yang telah disahkan kerajaan untuk menyampaikan bantuan ke sana.
Pihak masjid mengucapkan jutaan terima kasih kepada para jemaah di atas penyertaan dan seterusnya membantu melancarkan majlis ini dengan jayanya serta mengimarahkan masjid. Semoga dengan diadakan majlis ini, para peserta dapat menjiwai kehidupan yang melazimi al-Quran dan ilmu pengetahuan tentang al-Quran.
قال الإمام النووي رحمه الله: يستحب حضور مجلس ختم القرآن استحبابا متأكدا
Mafhumnya kata al-Imam al-Nawawi: "Sunat menghadiri majlis pengkhataman al-Quran dengan sunat muakkad (sangat dianjurkan)."
وروى الدارمي وأبو داود بإسنادهما عن ابن عباس رضي الله عنهما أنه كان يجعل رجلاً يراقب رجلاً يقرأ القرآن فإذا أراد أن يختم أعلم ابن عباس فيشهد ذلك
Mafhumnya: "Dan diriwayatkan oleh al-Darimi dan Abu Daud dengan sanad kedua-duanya, dari Ibn Abbas RA bahawasanya beliau menjadikan seseorang memperhatikan seorang yang membaca al-Quran. Apabila dia akan mengkhatamkan al-Quran, hendaklah orang tersebut memberitahu Ibn Abbas sehingga beliau dapat menyaksikan berkhatam itu."
وروى بأسانيد الصحيحة عن الحكم بن عيينة التابعي الجليل قال: أرسل إلي مجاهد وعتبة بن لبابة فقالا: إنا أرسلنا إليك لأنا أردنا أن نختم القرآن، والدعاء يستجاب عند ختم القرآن (التبيان 159)
Mafhumnya: "Dan diriwayatkan dengan sanad-sanad yang sahih, dari al-Hakam bin Uyainah al-Tabi'i al-Jalil (seorang tabiin yang mulia), beliau telah berkata: "Mujahid dan Utbah bin Lubabah telah menghantar utusan kepadaku dan mereka berdua telah berkata: "Sesungguhnya kami menghantar utusan kepada engkau kerana kami ingin mengkhatamkan al-Quran, dan doa mustajab ketika mengkhatamkan al-Quran."