بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

LAWATAN RASMI: BAHAGIAN PENGURUSAN MASJID & SURAU, JABATAN AGAMA ISLAM NEGERI JOHOR (JAINJ)

Pihak Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) telah menerima kunjungan dan lawatan rasmi dari Ketua Penolong Pengarah dan rombongan bahagian Pengurusan Masjid & Surau, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) semalam. Tujuan lawatan ke masjid ini adalah mengambil tahu maklumat, pengurusan serta pentadbiran operasi di masjid ini termasuk aktiviti-aktiviti terkini di masjid ini, sekaligus mengeratkan hubungan silaturahim.

Lawatan yang berlangsung pada jam 8.00 pagi ini telah diadakan di Dewan Abd Samad MJBBU dan Bilik Mesyuarat MJBBU dan telah berjalan dengan lancar. Majlis bermula para tetamu menjamu selera dengan sarapan yang disediakan di Dewan Abd Samad MJBBU, diikuti sesi bergambar dan diteruskan dengan taklimat pengurusan Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) di Bilik Mesyuarat MJBBU.

Pada sesi taklimat masjid, majlis bermula dengan ucapan pembukaan majlis oleh Pengacara Majlis, Bilal Muhammad Hazim Zaim bin Dandan, diikuti bacaan doa oleh Ketua Imam MJBBU, Imam Haji Mohd Kamal bin Zakaria. Majlis diteruskan dengan ucapan ringkas dan pengenalan oleh Pengerusi MJBBU, Ustaz Haji Md Burhanuddin bin Haji Tibek, selaku wakil Ahli Jawatankuasa & warga kerja MJBBU dan ucapan Ketua Penolong Pengarah bahagian Pengurusan Masjid & Surau, JAINJ, Sohibul Fadilah Tuan Haji Mohd Khalil bin Mohd Nor dan Ahli Jawatankuasa serta rombongan.

Majlis seterusnya memasuki sesi taklimat pengurusan dan pentadbiran Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) yang disampaikan oleh Pengurus MJBBU, Tuan Haji Ab Rashid bin Bukhairah. Di dalam sesi taklimat ini juga turut diselangi dengan soal jawab di antara kedua-dua pihak bagi perkongsian maklumat dan ilmu di dalam pengurusan serta pentadbiran masjid. Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata dari pihak masjid oleh Pengurus MJBBU, Tuan Haji Ab Rashid bin Bukhairah kepada Bahagian Pengurusan Masjid & Surau, JAINJ dan Ahli Jawatankuasa serta rombongan.

Pihak masjid mengalu-alukan kehadiran para pelawat bagi tujuan berkenalan dan pengimarahan masjid ini. Semoga masjid ini menjadi pusat pengimarahan bagi keseluruhan masyarakat di dalam dan luar negara.

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: أحب البلاد إلى الله مساجدها

Sabda Rasulullah SAW: "Negeri (tempat) yang paling dicintai oleh Allah SWT adalah masjid-masjidnya."

قال الإمام النووي رحمه الله تعلى عنه : أحب البلاد إلى الله مساجدها لأنها بيوت الطاعات وأساسها على التقوى (شرح صحيح مسلم النووي 5/171)

Kata al-Imam al-Nawawi RHM: "Negeri (tempat) yang paling disukai Allah Taala ialah masjid-masjidNya kerana ia adalah tempat (yang dilakukan) ketaatan dan asasnya di atas ketakwaan."