بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

PROGRAM SEMARAK SUBUH JOHOR DI MJBBU

Buat julung kalinya, Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) melaksanakan program Semarak Subuh Johor melalui projek dan inisiatif Kerajaan Negeri Johor bagi memupuk semangat kepada masyarakat agar cintakan masjid dan surau serta keazaman untuk mengimarahkannya. Program ini telah berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang amat memuaskan dari kalangan jemaah dan ahli kariah MJBBU serta masyarakat sekitar dengan penyertaan seramai 900 orang.

Program Semarak Subuh Johor di MJBBU ini diadakan pada Jumaat lalu dengan kehadiran dif-dif terhormat termasuklah Menteri Besar, YAB Dato' Onn Hafiz bin Dato' Ghazi serta Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Dato' (Dr.) Haji Nooh bin Gadut.

Program yang diadakan di Dewan Solat Utama MJBBU telah bermula seawal jam 5.30 pagi dengan kehadiran para jemaah melaksanakan Solat Qabliyah, diikuti Solat Subuh berjemaah yang dipimpin oleh Imam ke-4 MJBBU, Imam Muhammad Hakimin bin Mohd Fazarin. Program diteruskan dengan bacaan 10 ayat awal dan 10 ayat akhir dari Surah Al-Kahfi yang dipimpin oleh Imam ke-2 MJBBU, Imam Mohd Shaiful bin Mohd Esa dan Bilal ke-3 MJBBU, Bilal Muhammad Hazim Zaim bin Dandan.

Di kemuncak majlis yang mulia ini, program diteruskan dengan tadabbur ringkas Surah Al-Kahfi yang disampaikan oleh Imam ke-3 MJBBU, Imam Nur Ikhmal Hakim bin Sabaruddin yang menghuraikan pengajaran-pengajaran apa yang dirakamkan oleh Allah SWT di dalam Surah tersebut termasuklah kepentingan memelihara akidah di atas landasan manhaj Sawadul Azam Ahli Sunnah Wal Jamaah, kepentingan menjadi hamba yang bertakwa dengan merendahkan diri dalam segala hal, kepentingan berhijrah menuntut kefarduan ilmu agama dan sebagainya.

Program diakhiri dengan para jemaah bersalaman dan diiringi selawat oleh para Bilal MJBBU dan ditutupi dengan para jemaah menikmati jamuan selera di Ruang Aras 1 MJBBU. Para jemaah boleh ikuti bacaan Surah Al-Kahfi dan tadabbur di Facebook Masjid Jamek Bandar Baru UDA: https://www.facebook.com/mjbbUDA/videos/336430112565887/?notif_id=1705013281772470¬if_t=feedback_reaction_generic&ref=notif

Pihak masjid mengucapkan tahniah di atas penyertaan dan keterlibatan para jemaah di dalam program tersebut. Program yang sarat dengan amal ibadah, solat berjemaah di masjid, mengimarahkan masjid, melazimi majlis Al-Quran dan majlis ilmu. Kesemuanya dijanjikan pahala yang lumayan oleh Allah SWT. Semoga Allah menerima segala amal ibadah kita.

قال ﺭﺳﻮﻝ ﺍﻟﻠﻪ ﷺ : إن أثقل صلاة على المنافقين صلاة العشاء وصلاة الفجر ولو يعلمون ما فيهما لأتوهما ولو حبوا

Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya solat yang paling berat bagi kaum munafik adalah solat Isyak dan Subuh. Sekiranya mereka mengetahui pahala pada keduanya, nescaya mereka akan mendatanginya meskipun dengan merangkak."

قال الامام النووي رحمه الله : لو يعلمون ما فيهما من الفضل والخير ثم لم يستطيعوا الإتيان إليهما إلا حبوا لحبوا إليهما ولم يفوتوا جماعتهما في المسجد (صحيح مسلم بشرح النووي: 5/131)

Kata al-Imam al-Nawawi RHM: "Sekiranya mereka (kaum munafik) mengetahui fadilat dan kebaikan di dalam solat Subuh & Isyak, kemudian mereka tidak mampu mendatanginya melainkan dengan merangkak, nescaya mereka akan merangkak kepadanya dan mereka tidak akan terlepas dari berjemaah pada keduanya di masjid."