Dengan Kedatangan Bulan-bulan Haram, Rejab, Syaaban Dan Ramadan

Dengan kedatangan bulan-bulan Haram, Rejab, Syaaban dan Ramadan ini, marilah sama-sama kita mempertingkatkan amal ibadah di bulan-bulan mulia ini. Disamping berpuasa di bulan Haram sebagaimana sunnah Rasulullah SAW dan saranan ulama, bulan Rejab juga adalah bulan Haram yang diutamakan untuk beribadat, bermunajat dan sebagainya, kerana ia adalah muqadimah bagi bulan-bulan ibadat termasuklah Syaaban dan Ramadan.

Kata Al-Imam Ibn Rajab Al-Hanbali di dalam Al-Lataif Al-Maarif:

شهر رجب مفتاح اشهر الخير والبركة

"Bulan Rejab adalah kunci bagi bulan-bulan yang baik dan berkat."

جدير بمن سود صحيفته بالذنوب أن يبيضها بالتوبة في هذا الشهر وبمن ضيع عمره في البطالة أن يغتنم فيه ما بقي من العمر (لطائف المعارف 234)

"Adalah patut bagi sesiapa yang telah menghitamkannya (catatan amal) dengan dosa-dosa untuk memutihkannya dengan taubat pada bulan ini (Rejab) dan bagi sesiapa yang telah mensia-siakan umurnya di dalam kemalasan dari amal soleh untuk merebut peluang ibadat di dalam bulan ini dengan apa yang masih berbaki dari sisa umurnya."

Oleh itu, marilah sama-sama kita hadiri ke program Bulan Munajat MJBBU yang akan diadakan setiap Ahad bermula 28 Januari ini sehingga 18 Februari 2024. Semoga kehadiran kita ke rumah Allah untuk beribadat dan bermunajat dengan zikrullah, selawat ke atas Baginda SAW, akan dilimpahkan kita segala kebaikan, diselubungi malaikat rahmat, diberikan keampunan dan lain-lain dari fadilat berzikir, berselawat, berada di dalam halaqah zikir dan sebagainya.