بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

TAMAT KURSUS ASAS HAJI (KAH) 1445H DI MJBBU

Alhamdulillah telah selesai Kursus Asas Haji (KAH) 1445H di Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) anjuran bersama Tabung Haji (TH) dan MJBBU. Kursus yang berjalan selama 13 minggu dengan 13 modul Ibadah Umrah dan Haji telah bermula dari 1 November 2023 dan telah selesai Rabu yang lalu pada 24 Januari 2024.

Kursus Asas Haji ini diadakan setiap Rabu, di Dewan Solat Utama MJBBU, selepas Solat Isyak berjemaah. Kursus kali ini telah dipimpin oleh Pekta TH iaitu Ustaz Ismail bin Mat Ali, Ustaz Mohd Hambali bin Abd Rahman, Ustazah Wan Nor Aini binti Wan Hamzah bagi modul Fiqh Wanita dan Pengarah TH, Haji Abu Shukor bin Jangga bagi modul Pengurusan Haji.

Pihak masjid mengucapkan ribuan tahniah kepada para jemaah yang telah hadir khususnya peserta-peserta yang bakal melaksanakan ibadah haji bagi tahun ini dan sekaligus mengimarahkan masjid ini. Pihak masjid mendoakan agar jemaah haji khususnya dari kariah Bandar Baru Uda dikurniakan Haji Mabrur.

قال العلامة أبي بكر الدمياطي البكري : واعلم أن فضائله لا تحصي

Kata al-Imam al-Allamah Abi Bakr Syata al-Dimyati al-Bakri: "Dan ketahuilah bahawa fadilat-fadilat ibadah haji tidak terkira."

وروى ابن حبان عن ابن عمر أن النبي صل قال : إن الحاج حين يخرج من بيته لم يخط خطوة الا كتب الله له بها حسنة وحط عنه بها خطيئة فاذا وقفوا بعرفات : باهى الله بهم ملائكته، يقول : انظروا الى عبادي، أتوني شعثا غبرا أشهدكم أني غفرت لهم ذنوبهم وإن كانت عدد قطر السماء ورمل عالج (إعانة الطالبين 2/459)

Diriwayatkan dari al-Imam Ibn Hibban, dari Ibn Umar RA bahawa sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya orang yang haji ketika keluar dari rumahnya, ia tidak melangkah satu langkah kecuali Allah mencatat baginya satu kebaikan dan meleburkan darinya dengan langkah itu, satu keburukan. Lalu apabila ia wuquf di Arafah, Allah berbangga dihadapan para malaikat, Dia berfirman: "Lihatlah para hambaKu, mereka datang padaKu dengan pakaian sederhana dan berdebu. Aku bersaksi pada kamu (malaikat) bahawa Aku telah mengampunkan dosa-dosa mereka dan walau dosanya bagaikan titisan air hujan dan butiran pasir."