بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
BULAN MUNAJAT DI MASJID JAMEK BANDAR BARU UDA
Buat julung kalinya, Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) mengadakan program Bulan Munajat MJBBU yang mengetengahkan bacaan-bacaan wirid dan zikir yang masyhur dilaksanakan di Johor termasuklah Ratib Al-Attas, Hizib Al-Nawawi, Hizib Bahar dan Wirid Khaujakan. Program yang bertujuan menghidupkan kembali amalan zikir dan wirid bulanan di masjid ini, telah diadakan bersesuaian dengan kehadiran bulan-bulan Haram termasuklah bulan Rejab yang merupakan pintu bagi bulan-bulan yang berkat dan ibadat.
Bulan Munajat MJBBU ini diadakan pada setiap Ahad, bermula 28 Januari sehingga 18 Februari 2024, selepas Solat Maghrib berjemaah. Program ini bermula dengan bacaan Ratib Al-Attas & Asmaul Husna dan telah pun dilaksanakan pada Ahad yang lalu.
Program Bulan Munajat Ratib Al-Attas & Asmaul Husna dimulai dengan penyampaian tausiyah oleh Ustaz Haji Mohd Hambali bin Abd Rahman yang menerangkan keutamaan, sejarah dan fadilat membasahi lidah dengan zikrullah dan wirid-wirid yang masyhur khususnya Ratib Al-Attas yang telah dikarang dan disusun oleh ulama dan auliya iaitu Al-'Allamah Al-Habib Umar Bin Abdurrahman Al-Attas. Program diteruskan dengan bacaan Ratib Al-Attas & Asmaul Husna serta doa yang dipimpin oleh Habib Abu Bakar bin Alwi Al-Haddad dan diakhiri dengan Solat Isyak berjemaah dan jamuan.
Pihak masjid mengucapkan jutaan tahniah kepada para jemaah yang telah hadir dan sertai majlis tersebut dan sekaligus mengimarahkan masjid ini. Pihak masjid mengalu-alukan kehadiran para jemaah MJBBU dan masyarakat sekitar bagi program Bulan Munajat MJBBU berikutnya pada Ahad, 4 Februari 2024 dengan bacaan Hizib Al-Nawawi yang akan dipimpin oleh Ustaz Hanafi Khalis bin Zainal Abidin, pengasas Zawiyah Al-Rifaiyyah, Mersing.
يا أيها الذين آمنوا اذكروا الله ذكرا كثيرا (41) وسبحوه بكرة وأصيلا (42)
"Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya. (41) Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang." (42)
قال عليه السلام : إن هذه القلوب تصدأ كما يصدأ الحديد (إذا أصابه الماء) قيل: يا رسول الله وما جلاؤها؟ قال : تلاوة كتاب الله وكثرة ذكره (روح البيان 7/192)
Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya hati-hati ini akan berkarat sepertimana berkaratnya besi (apabila terkena air). Baginda ditanya: "Apakah penggilapnya?" Baginda menjawab: "Membaca Al-Quran dan banyak mengingatiNya."