بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

BULAN MUNAJAT MJBBU: HIZIB AL-IMAM AL-NAWAWI

Alhamdulillah telah selesai Majlis Bacaan Hizib Al-Nawawi bersempena dengan program Bulan Munajat MJBBU pada Ahad lalu. Program Bulan Munajat MJBBU yang dilaksanakan bagi mengembalikan bacaan wirid dan zikir bulanan di masjid ini telah berlangsung sejak 28 Januari 2024 dan kini telah memasuki wirid yang kedua iaitu bacaan Hizib Al-Imam Al-Nawawi.

Program yang dijalankan ini adalah bersesuaian dengan kedatangan bulan Haram dan kunci bagi bulan-bulan kebaikan dan keberkatan iaitu Rejab 1445H. Di bulan Rejab, umat Islam amatlah dianjurkan untuk memperbanyakkan ibadat, puasa dan munajat di bulan ini dan hindari segala perbuatan maksiat dan kemungkaran, walau pada hakikat setiap amalan yang zalim wajib dihindari pada setiap waktu.

Di majlis Hizib Al-Nawawi kali ini, pihak masjid menjemput Ustaz Hanafi Khalis bin Zainal Abidin, pengasas Zawiyah Al-Rifaiyyah, Mersing bagi memimpin dan memberi tausiyah berkaitan majlis zikir dan wirid Hizib Al-Imam Al-Nawawi. Ustaz Hanafi Khalis bin Zainal Abidin di dalam tausiyahnya menghuraikan keutamaan wirid dan zikir harian bagi mempertingkankan iman dan amal, sekaligus memberi khusyuk di dalam setiap ibadah-ibadah utama kerana keteguhan iman di atas mengingati Allah SWT di dalam kehidupan.

Majlis telah bermula dengan ucapan kata alu-aluan dari Pengarah program Bulan Munajat MJBBU, Imam Nur Ikhmal Hakim bin Sabaruddin dan diteruskan dengan penyampaian tausiyah dan bacaan Hizib Al-Imam Al-Nawawi oleh Ustaz Hanafi Khalis bin Zainal Abidin dan ditutupi dengan Solat Isyak berjemaah serta jamuan.

Pihak masjid mengucapkan jutaan tahniah kepada para jemaah yang telah hadir dan sertai majlis tersebut dan sekaligus mengimarahkan masjid ini. Pihak masjid mengalu-alukan kehadiran para jemaah MJBBU dan masyarakat sekitar bagi program Bulan Munajat MJBBU berikutnya pada Ahad, 11 Februari 2024 dengan bacaan Hizib Bahar yang akan dipimpin oleh Ustaz Mohd Kamal bin Said, pengasas Pengajian Anwarul Mahabbah.

قال شيخ مشايخنا العالم العلامة الشيخ احمد النخلي...وذكر عن مشايخه رحمه الله تعالى : ان قارئ هذا الحزب يحفظ من شر الجن والانس ومن اهل السماوات واهل الارض...ومن مكايد المفسدة في الظاهر بجميع ما يفعلونه من سحر وشعبذة ومكروه وغير ذلك (المطلب التام السوى 33)

"Telah berkata guru kepada guru kami Al-Alim Al-Allamah Al-Syeikh Ahmad Al-Nakhli, dan telah berkata dari gurunya, semoga Allah merahmati mereka; bahawa sesungguhnya pembaca hizib ini (Hizib Al-Nawawi) akan terpelihara dari kejahatan jin, manusia dan kejahatan dari seluruh penduduk di langit dan di bumi. Terpelihara dari tipu-daya orang yang melakukan kerosakan pada zahir dengan segala apa mereka perbuat akannya dari sihir, ilmu ghaib dan sebagainya."