بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT BERSAMA AADK
Alhamdulillah telah selesai aktiviti-aktiviti khidmat masyarakat yang telah dilaksanakan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Johor Bahru di Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU). Aktiviti ini telah dilaksanakan semalam (Rabu) bermula seawal 9.30 pagi dengan penyertaan seramai 37 peserta dari AADK.
Program khidmat masyarakat ini bermula dengan sarapan pagi di Ruang Aras 1 MJBBU, diteruskan dengan Solat Dhuha berjemaah di Dewan Solat Utama MJBBU yang dipimpin oleh Ketua Imam MJBBU, Imam Haji Mohd Kamal bin Zakaria dan tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Imam ke-3 MJBBU, Imam Nur Ikhmal Hakim bin Sabaruddin.
Bersempena bulan Haram Rejab dan kedatangan hari yang agung, hari peristiwa Israk Wal Mikraj, Imam Nur Ikhmal Hakim bin Sabaruddin memberikan peringatan kepada para peserta keutamaan mengagungkan Allah SWT dan menjaga kefarduan solat lima waktu sehari dan semalam bersempena keagungan kekuasaan Allah SWT di dalam peristiwa Israk Wal Mikraj, dan kemuliaan yang dilimpahkan ke atas Baginda SAW dengan pensyariatan solat yang bukan sekadar wahyu, bahkan dijalankan Baginda SAW dari Makkah Al-Mukarramah ke Baitulmuqaddis dan ke Sidratul Muntaha.
Program khidmat ini diteruskan dengan kata alu-aluan dan pengagihan bahagian kerja gotong-royong di masjid oleh Biro Ekonomi MJBBU, Tuan Haji Rahmat bin Md Yusof bersama-sama Sahabat Sukarelawan MJBBU. Program diteruskan dengan para peserta menjalankan kerja gotong-royong di sekitar masjid termasuklah membersihkan kawasan wuduk dan tandas, longkang-longkang, alatan kipas-kipas masjid, pintu-pintu gelangsar masjid dan lain-lain.
Pihak masjid mengucapkan ribuan tahniah dan terima kasih kepada para peserta AADK dan ahli Sahabat Sukarelawan yang menyertai aktiviti gotong-royong ini, membersihkan rumah Allah SWT sekaligus mengimarahkan rumah Allah SWT. Semoga Allah SWT menerima segala amal ibadat kita mengagungkan rumah Allah SWT.
قال رسول الله ﷺ: الطهور شطر الإيمان
Sabda Rasulullah SAW: "Bersuci adalah sebahagian dari iman."
قال الإمام ابن دقيق العيد: فالمراد به هنا الفعل واختلف في معناه فقيل إن الأجر فيه ينتهي إلى نصف أجر الإيمان وقيل المراد بالإيمان هنا الصلاة (شرح الأربعين حديثا النووية ص. 61)
Kata Al-Imam Ibn Daqiq Al-Aid: "Maka yang dimaksudkan dengan Al-Tuhur disini adalah perbuatan bersuci. Para ulama khilaf dalam makna hadis tersebut, lalu sebahagian mengatakan pahala suci merupakan sebahagian dari pahala iman, sedangkan yang lain mengatakan bahawa yang dimaksud dengan iman di sini adalah solat (yakni bersuci itu adalah sebahagian dari ibadat solat)."