بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
MAJLIS SAMBUTAN ISRAK WAL MIKRAJ 1445H PERINGKAT DAERAH JOHOR BAHRU
Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) dengan kerjasama Pejabat Kadi Daerah Johor Bahru telah mengadakan Majlis Sambutan Israk Wal Mikraj 1445H bersempena peristiwa Israk dan Mikraj semalam (06 Februari 2024). Program ini telah dijalankan di Dewan Solat Utama MJBBU dan mendapat sambutan yang amat baik di kalangan jemaah MJBBU dan masyarakat sekitar dengan kehadiran jemaah seramai 900 orang.
Turut hadir bersama ialah Yang Berbahagia Tuan Haji Muzaldin bin Haji Mohamed, Pegawai Daerah Johor Bahru, Yang Berusaha Al-Syeikh Haji Mohd Zaini bin Mohd Salleh, Kadi Daerah Johor Bahru, Yang Berhormat Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga & Daya Guna Awam merangkap Ahli Parlimen Johor Bahru dan Yang Berhormat Dato' Haji Mohamad Noorazam bin Dato' Haji Osman, Datuk Bandar, MBJB.
Program ini telah bermula dengan majlis zikir pimpinan para imam dan bilal MJBBU pada 6.30 petang di Dewan Solat Utama MJBBU. Majlis zikir ini dimulai dengan bacaan Al-Mathurat oleh Ketua Imam MJBBU, Imam Haji Mohd Kamal bin Zakaria, diteruskan bacaan Zikir Rejab beserta doa Istighfar Rejab oleh Imam Mohd Shaiful bin Mohd Esa dan Imam Muhammad Hakimin bin Mohd Fazrin. Majlis diteruskan dengan bacaan tarannum Surah Al-Isra dan Al-Najm serta Qasidah Al-Muhammadiyah oleh Bilal Mohammad Khairulanuar bin Mohammad Dun dan diakhiri dengan bacaan Zikir Munajat oleh Bilal Muhammad Zulfikri Amin bin Zulkifli.
Seusai Solat Maghrib berjemaah, program diteruskan dengan aktiviti kemuncak iaitu Ceramah Perdana Israk Wal Mikraj. Program dibuka dengan kata alu-aluan dan bacaan doa oleh Ustaz Razee bin Jamaladdin, Unit Dakwah PKDJB dan Ustaz Nazri bin Ali, Imam Daerah Johor Bahru. Program diteruskan dengan Ceramah Perdana Israk Wal Mikraj yang disampaikan oleh Ustaz Esby Islami bin Rifai, Penolong Mufti Bahagian Fatwa Jabatan Mufti Johor dan diakhiri dengan Solat Isyak berjemaah serta jamuan.
Di dalam ceramah Ustaz Esby Islami bin Rifai, beliau telah menghuraikan beberapa hikmah disebalik peristiwa Israk Wal Mikraj Nabi Muhammad SAW. Di antaranya ialah menzahirkan tanda-tanda kekuasaan Allah SWT menjadikan langit tempat yang tidak dicapai para hambaNya melainkan kemuliaan Allah SWT ke atas Baginda SAW. Ustaz turut menerangkan keberkatan yang dilimpahkan Allah SWT ke atas bumi Baitulmaqdis ini dan di sana pelbagai perkaitanan dan kesinambungan dari peristiwa Israk dengan sejarah, dakwah serta syariat para Anbiya dan Rasulullah SAW.
Muslimin dan muslimat bolehlah ikuti rakaman siaran langsung ceramah tersebut di pautan berikut:
https://www.facebook.com/mjbbUDA/videos/1751755325229955/?app=fbl
Pihak masjid mengucapkan jutaan tahniah di atas kehadiran para jemaah ke Majlis Sambutan Israk Wal Mikraj 1445H Peringkat Daerah Johor Bahru kali ini, sekaligus mengimarahkan masjid. Semoga Allah SWT memakbulkan amal zikir kita dan kehadiran kita di majlis ilmu di bulan Haram yang mulia ini.
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ المَسْجِدِ الحَرَامِ إِلَى المَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
قال الإمام علاء الدين الخازن : وقيل سماه مباركاً لأنه مقر الأنبياء ومهبط الملائكة والوحي وقبلة الأنبياء قبل نبينا محمد ﷺ وإليه تحشر الخلق يوم القيامة (لباب التاويل 3/106)
Kata Al-Imam Allauddin Al-Khazin: "Dan sebahagian ulama mengatakan; dinamakan ia bumi yang penuh berkat kerana sesungguhnya ia adalah tempat tinggal para Anbiya, tempat turun Malaikat dan wahyu, tempat qiblat bagi para Anbiya sebelum Nabi Muhammad SAW dan kepadaNya akan berkumpul seluruh makhluk di hari kiamat."