بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

WACANA HALAL & KURSUS SEMBELIHAN PATUH SYARAK DI MJBBU

Buat julung kalinya, Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) telah mengadakan program-program ilmiah halal bersempena dengan projek Semarak Halal Negeri Johor, anjuran bersama Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor pada Khamis (22 Februari 2024) lalu.

Di dalam projek ini, masjid telah mengadakan 2 program iaitu Kursus Sembelihan Patuh Syarak dan Wacana Ilmiah "Halal Pilihan Kita", kedua-duanya diadakan di waktu pagi dan selepas Maghrib. Pihak JAINJ turut menyediakan pameran barang-barang yang diperbuat dari kulit babi, dokumen-dokumen berkaitan garis panduan, sistem pengurusan, manual prosiding serta pensijilan dan perintah halal haram di Malaysia, keputusan fatwa penggunaan alkohol di dalam minyak wangi, sanitasi dan sebagainya.

Di sebelah pagi, program dilaksanakan ialah Kursus Sembelihan Patuh Syarak Peringkat Daerah Johor Bahru 2024 dan diadakan di Dewan Suliman MJBBU bermula jam 8.00 pagi. Kursus ini bermula dengan Wacana 1 berkaitan dengan sembelihan patuh syarak yang disampaikan oleh Tuan Haji Nasri bin Selamat, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Pengurusan Halal, JAINJ. Wacana ke-2 pula berkaitan dengan pengurusan loji pusat penyembelihan yang disampaikan oleh Encik Zamari bin Mohd Amin, Ketua Seksyen Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor.

Program kemudian diteruskan dengan acara perasmian Wacana Ilmiah Halal MJBBU yang bermula dengan ucapan aluan oleh Ustaz Haji Md Burhanuddin bin Haji Tibek, Pengerusi MJBBU dan dirasmikan oleh Tuan Haji Mohd Taufik bin Dato' Shamsuddin, Ketua Penolong Pengarah JAINJ, Bahagian Pengurusan Halal JAINJ. Program diteruskan dengan aktiviti kemuncak iaitu praktikal sembelihan oleh peserta-peserta yang dipimpin oleh pegawai JAINJ dengan sebanyak 6 ekor kambing dan 60 ekor ayam.

Di sebelah petang pula, masjid mengadakan program bacaan Yasin dan Tahlil yang dipimpin oleh Imam dan Bilal MJBBU, Imam Muhammad Hakimin bin Mohd Fazarin dan Bilal Muhammad Zulfikri Amin bin Zulkifli. program diteruskan dengan bacaan alunan Al-Quran yang dibacakan oleh Datuk Haji Berhan bin Abd Rahman. Selepas Maghrib para jemaah menunaikan Solat Sunat Hajat berjemaah.

Program diteruskan dengan Wacana Ilmiah "Halal Pilihan Kita" bersama-sama dengan moderator Al-Syeikh Haji Amir bin Mohd Noor, Kadi Daerah Kulai, Panel 1 Tuan Haji Mohd Taufik bin Dato' Shamsuddin, Ketua Penolong Pengarah JAINJ, Bahagian Pengurusan Halal JAINJ, dan Panel 2 Tuan Haji Yosree bin Ikhsan, Timbalan Pengarah Operasi JAINJ. Program ini diakhir dengan jamuan.

Pihak masjid mengucapkan ribuan tahniah kepada para jemaah yang telah hadir dan sertai program-program tersebut dan sekaligus mengimarahkan masjid ini. Semoga dengan perlaksanaan program ini para peserta dapat menambah ilmu samada secara ilmi atau amali di dalam proses penyembelihan serta dapat memupuk kesedaran dan menambah pengetahuan tentang keutamaan halal di dalam syariat dan kehidupan, agar menjadi hambaNya yang bertakwa.

قال الإمام ابن رسلان الشافعي : وطاعة ممن حراما يأكل ∴ مثل البناء فوق موج يجعل

Kata Al-Imam Ibn Roslan Al-Syafie RHM: "Perbandingan ketaatan yang dilakukan oleh orang yang memakan rezeki yang haram adalah seperti binaan yang dibina di atas ombak."

فقد روي من حديث ابن عمر رضي الله عنهما : من لم يبال من أين اكتسب المال لم يبال الله تعالى من أين أدخله النار (غاية البيان 12)

Diriwayatkan dari hadis Ibn Umar RA: "Barangsiapa tidak menghiraukan dari mana dia perolehi harta (samada halal atau haram), nescaya Allah tidak menghiraukan dari mana dia dimasukkan ke dalam neraka."


About Us


Masjid ini berkeluasan 18,640 kps boleh memuatkan seramai 5,400 jemaah, telah dibina pada 31 Disember

LATEST ALBUM

OUR LOCATION

Johor Bahru, Malaysia.

© Copyright | Powered by instaweb.my