بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

MAJLIS BACAAN SURAH AL-FATH, DOA AWAL RAMADAN DAN SOLAT SUNAT TARAWIH RAMADAN 1445H

Alhamdulillah, pihak Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) telah mengadakan Majlis Bacaan Surah Al-Fath & Doa Awal Ramadan bersempena ketibaan Ramadan 1445H pada Isnin lalu (11 Mac 2024). Majlis telah mendapat sambutan yang baik dikalangan jemaah, ahli kariah dan masyarakat sekitar Bandar Baru Uda.

Pelbagai fadilat membaca Surah Al-Fath di awal Ramadan sebagaimana yang telah dihuraikan oleh para ulama, termasuklah diberi perlindungan oleh Allah SWT dan dimurahkan rezeki sepanjang tahun.

Majlis yang bermula selepas seusai solat fardu Maghrib berjemaah, diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fath yang dipimpin oleh Ketua Imam MJBBU, Imam Haji Mohd Kamal bin Zakaria dan bacaan doa awal Ramadan susunan Al-Imam Al-Syeikh Ali Zainal Abidin yang dipimpin oleh Imam 3 MJBBU, Imam Nur Ikhmal Hakim bin Sabaruddin. Para jemaah turut menyertai membaca Surah Al-Fath dan mengaminkan bacaan doa.

Dengan ketibaan Ramadan 1445H pula, solat sunat Tarawih telah diimamkan oleh para imam Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) yang dipimpin oleh Imam 3, Imam Nur Ikhmal Hakim bin Sabaruddin, Imam 4, Imam Muhammad Hakimin bin Mohd Fazrin dan Imam 2, Imam Mohd Shaiful bin Mohd Esa. Bagi Tarawih berikutnya, para jemaah boleh ikuti jadual Imam Tarawih Jemputan yang telah diiklankan.

Pihak masjid mengucapkan jutaan tahniah kepada para jemaah yang hadir ke Majlis Bacaan Surah Al-Fath dan turut menyertai solat sunat Tarawih berjemaah di masjid dan sekaligus mengimarahkan masjid ini. Semoga Allah SWT memberi kudrat kepada kita agar dapat istiqamah bersungguh-sungguh beribadat di bulan Ramadan kali ini dan mengekalkan momentum ibadat yang maksimum serta menjauhi sebarang kelakuan maksiat dan zalim.

ونص ابن رجب الحنبلي : قال معلى بن الفضل : كانوا يدعون الله ستة أشهر أن يبلغهم شهر رمضان ثم يدعون الله ستة أشهر أن يتقبله منهم

Dan telah menaskan Al-Imam Al-Hafiz Ibn Rajab Al-Hanbali: "Mu'alla bin Al-Fadal berkata: "Mereka (ulama Salaf) berdoa kepada Allah enam (6) bulan (sebelum) agar disampaikan kepada bulan Ramadan. Kemudian mereka berdoa kepada Allah enam (6) bulan (selepasnya) agar amalan mereka diterima Allah."

وقال يحيى بن أبي كثير كان من دعائهم: اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي، وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا (لطائف المعارف 280)

"Dan telah berkata Yahya bin Abi Kathir bahawa dari doa para ulama salaf ialah: "Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadan, sejahterakanlah Ramadan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan itu)."