بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

TIPU DAYA SYAITAN DALAM SOLAT TARAWIH: RAMADAN 1445H

Di dalam bulan Ramadan, umat Islam dianjurkan untuk mempertingkatkan amal ibadah kepada Allah SWT, disamping melaksanakan kewajipan puasa sepanjang hari di bulan ini. Termasuk amal ibadah yang dianjurkan adalah menunaikan Solat Sunat Tarawih pada setiap malam. Bahkan ia adalah sunat muakkad untuk didirikan.

Kata Al-Imam Abu Bakar Al-Bakri Al-Syafie di dalam kitabnya:

الأصل فيها ما روى الشيخان : أنه - صلى الله عليه وسلم - خرج من جوف الليل ليالي من رمضان وصلى في المسجد وصلى الناس بصلاته فيها وتكاثروا فلم يخرج لهم في الرابعة وقال لهم صبيحتها : خشيت أن تفرض عليكم صلاة الليل فتعجزوا عنها

"Bahawasanya Baginda SAW telah keluar di tengah malam pada beberapa malam di bulan Ramadan dan Baginda solat di masjid. Orang ramai pun solat seperti solatnya Baginda SAW dan bilangan mereka bertambah. Lalu Baginda SAW tidak keluar untuk solat bersama mereka pada malam keempat. Sabda Baginda kepada mereka pada siangnya: "Aku khuatir diwajibkan solat malam ke atas kamu lalu kamu tidak mampu melakukannya.”

وروى البيهقي بإسناد صحيح أنهم يقومون على عهد عمر بن الخطاب رضي الله عنه في شهر رمضان بعشرين ركعة

"Dan telah meriwayatkan oleh Al-Baihaqi dengan sanad yang sahih, bahawasanya para Sahabat mendirikan solat pada zaman Umar bin Al-Khatab RA di bulan Ramadan sebanyak dua puluh (20) rakaat.”

Namun disamping mengamalkan sunah ini, umat Islam seharusnya mendirikannya dengan sebaiknya dan bukanlah dengan cara bermalas-malasan dan terburu-buru kerana ingin menyelesaikan tuntutan ibadah dengan cepat. Para ulama menititkberatkan kekhusyukan dan kehadiran hati di dalam solat agar solat kita makbul disisi Allah SWT. Termasuk dari menghadirkan hati dan khusyuk ketika solat ialah dengan menjaga rukun-rukun dan tertibnya.

Kata Al-Imam Abu Bakar Al-Bakri Al-Syafie:

ينبغي طول القيام بالقراءة مع الحضور والخشوع خلافا لما يعتاده كثيرون في زماننا من تخفيفها ويتفاخرون بذلك

"Sayogianya memanjangkan berdiri dengan bacaan bersama hudur (hadir dengan hati) dan khusyuk, bersalahan dengan apa yang menjadi kebiasaannya kebanyakan orang pada zaman kita yang meringankannya dan berbangga-bangga dengan demikian."

Demikian huraian Al-Imam Abu Bakar di dalam kitabnya dengan menukilkan kalam Al-Imam Habib Abdullah bin Alwi Al-Hadad dari kitab Al-Nasaih Al-Diniyah wa Al-Wasaya Al-Imaniyah. Justeru itu, umat Islam dituntut untuk menyempurnakan segala ibadah solat pada segala adabnya agar mencapai maqasidnya. Bukan sahaja Solat Sunat Tarawih, bahkan termasuk sekalian solat yang disyariatkan dan dianjurkan.

Oleh itu marilah sama-sama kita sentiasa memperbaiki kualiti ibadah kita dari semasa ke semasa. Semoga Allah SWT menerima amal ibadah kita lagi-lagi pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini.