بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
PENGHARAPAN AGAR AMALAN DITERIMA ALLAH SWT: RAMADAN 1445H
Hari raya merupakan hari umat Islam bergembira dan berseronok kerana ia adalah hari kegembiraan bagi orang yang beriman di dunia ini setelah mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan melaksanakan ibadat dan ketaatan seperti berpuasa, qiamullail, bermunajat, berdoa dan sebagainya.
Namun, di samping menyambut kedatangan hari raya Aidilfitri ini, sewajarnya kita insaf dan bermuhasabah pada pemergian bulan yang penuh berkat ini iaitu Ramadan. Seharusnya kita mengharapkan agar segala amal ibadat kita pada bulan ini diterima Allah SWT apatah lagi khuatir amalan kita menjadi sia-sia.
Al-Imam Ibn Rajab Al-Hanbali menukilkan kata-kata sebahagian para ulama Salaf:
قال بعض السلف كانوا يدعون الله ستة أشهر أن يبلغهم شهر رمضان ثم يدعون الله ستة أشهر أن يتقبله منهم
"Kata sebahagian ulama Salaf: "Mereka (ulama Salaf) berdoa kepada Allah enam (6) bulan (sebelum) agar disampaikan kepada bulan Ramadan. Kemudian mereka berdoa kepada Allah enam (6) bulan (selepasnya) agar amalan mereka diterima Allah."
Bahkan para ulama Salaf merasa sedih dengan pemergian Ramadan dan khuatir samada diterima amalan mereka oleh Allah SWT atau tidak. Sedangkan kegembiraan dengan kedatangan Aidilfitri bagi mereka adalah apabila segala amal ibadat mereka makbul disisi Allah SWT.
Al-Imam menukilkan khutbah dari Sayidina Umar bin Abdul Aziz:
أيها الناس إنكم صمتم لله ثلاثين يوما و قمتم ثلاثين ليلة و خرجتم اليوم تطلبون من الله أن يتقبل منكم
"Wahai manusia, sesungguhnya kamu telah berpuasa kerana Allah SWT selama 30 hari, kamu telah beribadah selama 30 malam dan kamu telah keluar pada hari ini meminta dari Allah agar menerima amalan kamu."
كان بعض السلف يظهر عليه الحزن يوم عيد الفطر فيقال له إنه يوم فرح وسرور فيقول صدقتم ولكني عبد أمرني مولاي أن أعمل له عملا فلا أدري أيقبله مني أم لا؟
"Sebahagian ulama Salaf menzahirkan kesedihan pada hari Aidilfitri. Lalu dikatakan kepada mereka: “Sesungguhnya Aidilfitri adalah hari kegembiraan dan kesenangan.” Lalu mereka menjawab: “Kamu betul, akan tetapi aku adalah seorang hamba yang diperintahkan oleh pemilik diriku untuk beramal kepadaNya, sedangkan aku tidak tahu apakah amalan aku itu diterima olehNya atau tidak diterima?"
Justeru marilah sama-sama kita mengambil iktibar dan pengajaran dari amalan para ulama dan bermuhasabah pada Ramadan yang berbaki ini, yakni teruskan beramal dan beribadat bersungguh-sungguh dengan penuh keimanan dan pengharapan agar diberi keampunan. Di antara amalan yang dianjurkan para ulama adalah sentiasa melazimi istighfar di akhir Ramadan.
Al-Imam menukilkan sebuah hadis Marfuk yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, beliau berkata:
ويغفر فيه يعني شهر رمضان إلا لمن أبى قالوا يا أبا هريرة ومن يأبى؟ قال من أبى أن يستغفر الله عزوجل
"Dan diampuni pada bulan Ramadan kecuali orang yang enggan (diampuni)." Para sahabat RA bertanya: "Wahai Abu Hurairah, siapakah orang yang enggan itu?" Beliau menjawab: "Orang yang enggan beristighfar kepada Allah SWT."
Kata Al-Imam:
والاستغفار ختام الأعمال الصالحة كلها فيختم به الصلاة والحج وقيام الليل وتختم به المجالس فإن كانت ذكرا كان كالطابع عليها وإن كانت لغوا كان كفارة لها فكذلك ينبغي أن يختم صيام رمضان بالاستغفار
"Istighfar merupakan penutup bagi segala amal soleh. Maka akhirilah ibadah solat, haji, qiamullail dan majlis-majlis dengan Istighfar. Apabila seseorang berzikir, maka dia akan sebati dengannya. Jika dia membuka perkara lagha (perkataan/perbuatan sia-sia), maka (Istighfar) itu menjadi kafarah baginya. Oleh yang demikian sayogianya mengakhiri puasa Ramadan dengan istighfar."
Semoga Allah SWT menerima segala amal ibadat serta mengampunkan segala dosa kita sepanjang bulan Ramadan tahun ini dan dipertemukan kita lagi dengan bulan berkat, Ramadan Al-Mubarak pada tahun berikutnya.