بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

MAJLIS MESRA AIDILFITRI: MASJID JAMEK BANDAR BARU UDA (MJBBU) 1445H / 2024

Alhamdulillah telah berlangsung Majlis Mesra Aidilfitri 1445H / 2024 anjuran Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) semalam dan telah mendapat sambutan yang amat baik dari jemaah masjid, ahli kariah Bandar Baru Uda dan masyarakat sekitar BBU. Majlis kali ini diadakan di perkarangan masjid dan telah bermula seawal jam 8.45 pagi sehingga 12.45 tengah hari.

Majlis telah bermula dengan kata alu-aluan oleh pengacara majlis, Bilal Muhammad Hazim Zaim bin Dandan dan diteruskan dengan bacaan selawat dan marhaban yang dipimpin oleh imam-imam, bilal-bilal MJBBU bersama-sama Ahli Jawatankuasa MJBBU dan Sahabat Sukarelawan MJBBU serta bacaan doa oleh Imam Muhammad Hakimin bin Mohd Fazarin.

Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Pengerusi MJBBU, Ustaz Md Burhanuddin bin Haji Tibek, diikuti ucapan ringkas mantan Imam MJBBU, Imam Nur Ikhmal Hakim bin Sabaruddin dan diteruskan dengan penyampaian cenderahati dari pihak Pengurusan MJBBU kepada mantan Imam MJBBU, Imam Nur Ikhmal Hakim bin Sabaruddin.

Disamping menikmati juadah hari raya oleh tetamu dan hadirin, majlis ini diselangi dengan persembahan-persembahan qasidah dan nasyid oleh bilal-bilal MJBBU sendiri, diketuai oleh Bilal Mohamad Khairulanuar bin Mohamad Dun, bersama-sama Bilal Muhammad Hazim Zaim bin Dandan dan Bilal Zulfikri Amin bin Zulkifli.

Pihak masjid mengucapkan jutaan terima kasih di atas kehadiran para jemaah masjid, ahli kariah Bandar Baru Uda serta masyarakat sekitar BBU yang memeriahkan majlis kali ini sekaligus mengeratkan lagi silaturrahim.

واتقوا الله الذى تساءلون به والأرحام (سورة النساء: 01)

"Bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat."

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ما من عمل حسن أسرع ثوابا من صلة الرحم وما من عمل سيئة أسرع عقوبة من البغي (روح البيان 2/165)

Sabda Rasulullah SAW: "Tiada amal baik yang paling cepat balasan pahalanya berbanding silaturrahim dan tiada amal buruk yang paling cepat balasan hukumannya berbanding berbuat jahat."