بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

FADILAT BULAN-BULAN HARAM ALLAH SWT : ZULKAEDAH 1445H

Bulan-bulan Haram terdiri daripada empat bulan di dalam takwim Islam iaitu Muharam, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijah. Bulan-bulan ini merupakan bulan-bulan yang suci serta dihormati dan umat Islam dilarang sama sekali melakukan kezaliman di bulan-bulan tersebut. Walaupun kezaliman itu pada setiap keadaan adalah besar balasannya kelak. Ini sebagaimana firmanNya di dalam Surah Al-Taubah.

Firman Allah SWT:

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ

"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa."

Al-Imam Alauddin Al-Baghdadi Al-Khazin menghuraikan ayat ini di dalam tafsirnya:

ولأن الحسنات والطاعات فيها تتضاعف وكذلك السيئات أيضا أشد من غيرها

"Dan kerana sesungguhnya segala kebajikan dan ketaatan di dalam bulan-bulan Haram dilipatgandakan (balasan pahala) dan demikian juga segala kejahatan juga lebih besar (balasan dosa) berbanding bulan-bulan lain."

قال قتادة : العمل الصالح أعظم أجرا في الأشهر الحرم والظلم فيهن أعظم منه فيما سواهن وإن كان الظلم على كل حال عظيما

Kata Al-Imam Qatadah : "Amalan soleh (yang dikerjakan) adalah besar balasan pahalanya di dalam bulan-bulan Haram dan kezaliman di dalamnya juga besar balasan dosanya berbanding bulan-bulan lain. Walaupun pada hakikatnya kezaliman itu adalah besar dalam setiap keadaan."

Oleh itu, marilah sama-sama kita meningkatkan amal ibadah di bulan Haram Zulkaedah ini dan menjauhi segala kemaksiatan dan kejahatan. Di antara amalan yang dianjurkan para ulama pada bulan-bulan ini adalah memperbanyakkan ibadah dengan berzikir, berdoa, berpuasa dan memohon keampunan.

Al-Imam Al-'Allamah Zainuddin Al-Malibari Al-Syafie berkata di dalam kitabnya:

أفضل الشهور للصوم بعد رمضان الاشهر الحرم وأفضلها المحرم ثم رجب ثم الحجة ثم القعدة ثم شهر شعبان

"Bulan-bulan yang afdal untuk berpuasa setelah bulan Ramadan adalah bulan-bulan Haram dan yang paling afdal ialah bulan Muharam, kemudian bulan Rejab, bulan Zulhijah, bulan Zulkaedah dan bulan Syaaban."

Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada kita dan menjadikan kita istiqamah untuk beramal pada bulan-bulan Haram khususnya bulan Zulkaedah tahun ini.