بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
HIKMAH DI SEBALIK IBADAH-IBADAH HAJI
Di antara amalan fardu dan merupakan rukun Islam yang terakhir, yakni yang ke-5 ialah ibadah haji. Setiap muslim yang mukallaf dan mempunyai kemampuan, kesihatan dan seumpamanya, wajib dia menunaikan haji walau sekali seumur hidup.
Firman Allah SWT:
وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا
"Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya."
Terdapat pelbagai kelebihan bagi orang yang mengerjakan ibadah haji. Para ulama menyatakan bahawa fadilatnya tidak terhitung banyak dan ganjarannya termasuklah menebus dosa, ganjaran syurga, dilipatgandakan pahala dan sebagainya.
Kata Al-Allamah Abi Bakr Al-Bakri di dalam I'anah Al-Thalibin:
واعلم أن فضائله لا تحصي
"Dan ketahuilah bahawa fadilat-fadilat ibadah haji tidak terkira."
ﻗﺎﻝ ﺭﺳﻮﻝ ﺍﻟﻠﻪ : ﻣﻦ ﺧﺮﺝ ﺣﺎﺟﺎ ﻳﺮﻳﺪ ﻭﺟﻪ ﺍﻟﻠﻪ ﻓﻘﺪ ﻏﻔﺮ ﺍﻟﻠﻪ ﻟﻪ ﻣﺎ ﺗﻘﺪﻡ ﻣﻦ ﺫﻧﺒﻪ ﻭﻣﺎ ﺗﺄﺧﺮ ﻭﺷﻔﻊ ﻓﻴﻤﻦ ﺩﻋﺎ ﻟﻪ
Sabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa keluar menunaikan haji kerana Allah, maka sesungguhnya Allah akan mengampunkan dosanya yang telah lalu dan dosanya yang terkemudian dan Dia akan memberi syafaat kepada orang yang dia doakan untuknya."
Berikut di antara hikmah-hikmah di dalam ibadah-ibadah haji yang dihuraikan oleh Al-Allamah Abi Bakr Al-Bakri:
فأما الحكمة في التجرد عند الإحرام : فإن من عادة الناس إذا قصدوا أبواب المخلوقين لبسوا أفخر ثيابهم من اللباس فكأن الحق سبحانه وتعالى يقول : القصد إلى بابي خلاف القصد إلى أبوابهم لأضاعف لهم أجرهم وثوابهم
"Adapun hikmah di dalam ihram, bahawa dari adat kebiasaan manusia itu apabila menuju pintu orang lain, mereka memakai pakaian yang paling sempurna. Maka seolah-olah Allah SWT berfirman: "Tujuan ke pintuKu adalah bersalahan dengan tujuan ke pintu-pintu mereka agar Aku menggandakan bagi mereka ganjaran dan pahala mereka."
وأما الاغتسال عند الإحرام...وهي أن الحجاج يضعون أقدامهم على مواضع أقدام الأنبياء الأبرار فيكونون قبل ذلك قد اغتسلوا لينالوا بركتهم في تلك الآثار كما قال تعالى وهو أصدق القائلين : إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
"Dan adapun bersuci ketika ihram...dan adalah hikmahnya bahawa orang yang menunaikan haji itu meletakkan kaki mereka di atas bekas jejak para Anbiya yang baik dan soleh. Lalu sebelum itu mereka bersuci agar mendapatkan keberkatan para Anbiya di dalam jejak-jejak mereka. Sebagaimana firman Allah SWT dan Dia yang Maha Benar dalam segala firmanNya: "SesungguhNya Allah mengasihi orang yang bertaubat, dan mengasihi orang yang mensucikan diri."
وأما الحكمة في التلبية : فإن الإنسان إذا ناداه إنسان جليل القدر أجابه بالتلبية وحسن الكلام فكيف بمن ناداه مولاه الملك العلام ودعاه إلى جنابة ليكفر عنه الذنوب والآثام؟ وإن العبد إذا قال : لبيك يقول الله تعالى : ها أنا دان إليك ومتجل عليك فسل ما تريد فأنا أقرب إليك من حبل الوريد
"Dan adapun hikmah di dalam talbiah: Bahawasanya manusia apabila dipanggil oleh insan yang terhormat, dia akan menjawab dengan talbiyah dan sebaik ucapan. Maka bagaimana apabila dipanggil oleh Yang Maha Pekuasa & Mengetahui dan memanggilnya ke sisiNya untuk dihapuskan dosa dan kesalahannya? Dan apabila seorang hamba berkata: "Labbaik!" Allah berfirman: "Inilah Aku yang dekat denganmu dan Aku tampak (tajalli) ke atasmu. Maka pintalah apa yang kau inginkan kerana Aku lebih dekat kepada engkau daripada urat leher."
Semoga Allah SWT mengurniakan rezeki kesihatan, kelapangan dan kewangan kepada kita untuk mengerjakan haji bagi tahun ini dan bagi mereka yang mempunyai keuzuran berpeluang untuk menunaikan haji pada tahun berikutnya. Semoga para jemaah haji dikurniakan haji yang Mabrur.