بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

PERISTIWA DISEBALIK HARI TARWIYAH, ARAFAH & AIDILADHA

Bulan Zulhijah adalah di antara bulan-bulan Haram yang suci dan ia adalah bulan terakhir di dalam Hijriah. Bulan ini juga merupakan bulan ibadah haji dan korban kerana kewajipan haji bagi yang mukallaf dan hari Aidiladha.

Ibadah haji dan korban ini berkait rapat dengan peristiwa yang bersejarah yang dialami oleh Nabi Ibrahim ketikamana Baginda diuji untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail.

Peristiwa ini direkodkan di dalam Surah Al-Saffat. Firman Allah SWT:

فَبَشَّرْنَاهُ بِغُلَامٍ حَلِيمٍ (101) فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَىٰ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ (102)

"Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan dengan seorang anak yang penyabar." (101) "Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anakku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu; InsyaAllah, ayah akan mendapatiku dari orang yang bersabar." (102)

Al-Syeikh Ismail Haqi al-Barusawy menghuraikan bahawa ayat-ayat ini mengisyaratkan bahawa Nabi Ismail ketika itu adalah anak yang di peringkat remaja kerana sifatnya yang reda dengan ujian Allah SWT.

Kata Al-Syeikh di dalam Roh Al-Bayan:

فان الصبى لا يوصف بالحلم...وكان له يومئذ ثلاث عشرة سنة

"Sesungguhnya seorang anak kecil tidak bersifat dengan sifat sabar...dan Baginda Nabi Ismail di saat itu berumur tiga belas (13) tahun."

Kata Al-Syeikh lagi:

وقيل انه رأى ليلة التروية كأن قائلا يقول له ان الله يأمرك بذبح ابنك هذا فلما أصبح روّى فى ذلك من الصباح الى الرواح أمن الله تعالى هذا الحلم أم من الشيطان فمن ثمة سمى يوم التروية فلما امسى رأى مثل ذلك فعرف انه من الله تعالى فمن ثمة سمى يوم عرفة ثم رأى فى الليلة الثالثة فهم بنحره فسمى اليوم يوم النحر

"Dikatakan bahawa Nabi Ibrahim melihat dalam mimpi di malam Al-Tarwiyah seolah-olah ada yang berbisik kepadanya: "Sungguh Allah memerintah engkau dengan memyembelih anakmu ini!". Setelah menjelang pagi hari, Baginda merenung pada demikian itu dari siang hingga ke petang; "Adakah mimpi ini dari Allah atau dari syaitan". Maka dari situ dinamakan ia hari Al-Tarwiyah (merenung). Dan ketika malam menjelma, Baginda melihat mimpi seperti itu dan mengetahui bahawa mimpi itu adalah dari Allah. Maka dari situ dinamakan ia hari Arafah (mengetahui). Kemudian Baginda melihat mimpi itu di malam ketiga (3) dengan penyembelihan Nabi Ismail. Maka dinamakan hari itu hari sembelihan (korban).”

Peristiwa ini merupakan di antara ujian-ujian Allah SWT kepada khalilullah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail. Di mana Baginda bersabar dan berfikir dari wahyu yang dikurniakan untuk menyembelih anak kesayangannya. Termasuk itu juga adalah kesabaran dan keredaan Nabi Ismail terhadap mimpi tersebut, memberi pengajaran akan pengorbanan yang agung di dalam menuruti perintahNya.

Demikian itu adalah di antara peristiwa disebalik hari Tarwiyah, Arafah dan hari korban. Tambahan lagi, umat Islam disunatkan untuk memperbanyakkan ibadah pada hari-hari tersebut. Di antara anjuran ibadah itu adalah dengan wuquf di Arafah dan ia adalah kemuncak ibadah haji. Selain dari itu adalah berpuasa sunat bagi yang tidak menunaikan haji dan sunat bermula dari awal 10 Zulhijah, hari Tarwiyah dan hari Arafah.

Oleh itu marilah sama-sama kita mempertingkatkan ibadah di bulan yang agung ini, apatahlagi kerana ia salah satu bulan-bulan Haram. Semoga Allah SWT melipatgandakan pahala di atas amal kita dan memelihara kita dari segala maksiat.