بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

IBADAH & PUASA SUNAT HARI ASYURA

Bulan Muharam adalah di antara bulan-bulan Haram yang suci dan ia adalah bulan pertama di dalam Takwim Hijriah. Pelbagai fadilat dan keistimewaan pada bulan ini dan para ulama menganjurkan kita untuk memperbanyakkan ibadah dan amal soleh seperti berselawat, berdoa, bermunajat dan sebagainya.

Di antara anjuran ibadah di bulan Muharam ialah melakukan ibadah puasa. Tambahan lagi berpuasa di hari Tasu'a dan Asyura, maka berganda amal ibadah kita.

Kata Al-Allamah Zainuddin Al-Malibari:

أفضل الشهور للصوم بعد رمضان: الاشهر الحرم وأفضلها المحرم ثم رجب ثم الحجة ثم القعدة، ثم شهر شعبان

"Paling afdal bulan-bulan untuk berpuasa selepas Ramadan ialah bulan-bulan Haram dan afdalnya ialah (berpuasa) bulan Muharam, kemudian bulan Rejab, Zulhijah, Zulkaedah dan Syaaban."

Al-Allamah Abi Bakr Al-Bakri menghuraikan:

قوله : وأفضلها أي الأشهر الحرم المحرم - لخبر مسلم : أفضل الصوم بعد رمضان شهر الله المحرم وإنما سمي محرما : لتحريم الجنة فيه على إبليس

"Dan kata pengarang: "Paling afdalnya; iaitu bulan-bulan Haram ialah bulan Muharam kerana riwayat hadis dari Al-Imam Muslim (sabda Rasulullah SAW): "Sebaik-baik puasa selepas Ramadan ialah bulan Allah Muharam dan dinamakan ia Muharam kerana pengharaman ke atas iblis di dalam syurga."

ويسن متأكدا صوم يوم عاشوراء لقوله ﷺ فيه : أحتسب على الله أن يكفر السنة التي قبله

"Dan sunat muakad berpuasa pada hari Asyura kerana sabda Baginda SAW padanya: "(Dan berpuasa pada hari Asyura) sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah SWT agar ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang sebelumnya."

Justeru umat Islam dianjurkan untuk memperbanyakkan berpuasa di bulan ini khususnya di hari Asyura yang mempunyai fadilat yang agung. Tambahan bulan ini adalah bulan Haram, maka segala pahala amal ibadah dan dosa maksiat akan digandakan Allah SWT.

Di hari Asyura terdapat juga amalan yang dianjurkan ulama dan umat Islam boleh mengambil faedah dari kesunahan tersebut terutama dari kelebihan dan fadilat di bulan Muharam.

Al-Allamah Abi Bakr Al-Bakri menukilkan sebuah nazam di dalam kitabnya:

في يوم عاشوراء عشر تتصل ∴ بها اثنتان ولها فضل نقل
صم، صل، صل، زر عالما، عد، واكتحل ∴ رأس اليتيم امسح، تصدق واغتسل
وسع على العيال، قلم ظفرا ∴ وسورة الاخلاص قل ألفا تصل

"Pada hari Asyura ada 10 amalan terkait dengannya lagi dua (2) amalan utama. Puasalah, solatlah, sambunglah silaturahim, ziarahlah orang alim, jenguklah orang sakit dan pakailah celak mata. Kepala anak yatim- usaplah, bersedekahlah dan bersucilah. Luaskanlah (nafkah) keluarga, potonglah kuku dan Surah Al-Ikhlas- bacalah 1,000 kali."

Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan dan menjadikan kita istiqamah dalam beramal di bulan Muharam dan khususnya pada hari Asyura dan moga-moga kita diampunkan dari segala dosa dan kesalahan.