بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

MAJLIS PENGKHATAMAN KITAB: DAURAH AL-TURATHIAH TASAWUF MUTIARA MINHAJ AL-ABIDIN

Alhamdulillah telah selesai daurah berkitab bagi program Daurah Al-Turathiah MJBBU kali ini, iaitu kitab Mutiara Minhaj Al-Abidin Al-Imam Abd Hamid Al-Ghazali karangan Ustaz Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaluddin bersama Ustaz Mohd Shafie bin Abd Rahman di Dewan Suliman MJBBU pada Selasa yang lalu (16 Julai 2024). Program ini telah berlangsung bermula 23 Disember 2023 dan dilaksanakan secara bersiri setiap minggu dan selesai pengajian serta majlis pengkhataman pada Selasa yang lalu.

Daurah ini telah dilaksanakan setiap hari Selasa pada jam 9.00 malam. Seramai 40 hingga 60 orang yang telah menyertai daurah Tasawuf kali ini secara bersemuka dan daurah ini juga telah disiarkan secara langsung di page Facebook Masjid Jamek Bandar Baru UDA bagi yang mempunyai keuzuran untuk menghadiri pengajian.

Pihak masjid mengucapkan tahniah di atas kesungguhan para pelajar yang telah menyertai daurah kali ini dan mengharapkan para pelajar dapat menerapkan serta mengaplikasikan apa yang telah dipelajari agar suci diri kita dari segala sifat Mazmumah dan dihiasi dengan sifat Mahmudah, seterusnya tertanam keikhlasan di dalam amal dan ibadah dan makbul setiap itu disisi Allah SWT.

قال الامام زين الدين المليباري : وتعلمن علما يصحح طاعة ∴ وعقيدة ومزكي القلب اصقلا هذا الثلاثة فرض عين فاعرفن ∴ واعمل بها تحصل نجاة واعتلا

Kata Al-Imam Zainuddin Al-Malibari: "Dan pelajarilah ilmu yang mengesahkan ketaatan (fiqh), (mengesahkan) akidah dan mensucikan hati dengan bersih (tasawuf). Ketiganya ini adalah fardu ain, maka ketahuilah dan amalkannya agar terhasil keselamatan dan kemuliaan."

ويجب عليك أيضا أن تتعلم علما يزكى القلب و يطهره من الأخلاق الذميمة كالكبر والرياء والحسد والحرص وغيرها من أمراض القلب

"Dan wajib ke atas engkau juga bahawa engkau mempelajari ilmu menyucikan hati dan membersihkannya dari akhlak yang tercela seperti sombong, riak, hasad, rakus (kepada dunia) dan sebagainya dari penyakit-penyakit hati."