بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

PROGRAM HARI ASYURA 1446H DI MJBBU

Alhamdulillah Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) telah mengadakan program sempena hari Asyura 1446H pada Selasa yang lalu (16 Julai 2024). Program kali ini telah mendapat sambutan yang baik dari ahli kariah BBU dan masyarakat sekitar.

Di antara pengisian di hari Asyura 1446H kali ini ialah edaran Bubur Asyura, Program Bacaan Zikir Asyura, Ceramah Hari Asyura dan Iftar Jamie. Edaran bubur Asyura diadakan selepas Asar di Dewan Suliman MJBBU dan para jemaah dapat mengambilnya selepas solat.

Program seterusnya, Program Bacaan Al-Waqiah & Zikir Khas Hari Asyura bermula jam 6.20 petang di Dewan Solat Utama MJBBU yang dipimpin oleh para imam & bilal MJBBU. Program bermula dengan bacaan Surah Al-Waqiah yang dipimpin oleh Imam Muhammad Hakimin bin Mohd Fazarin dan bacaan Zikir Hari Asyura oleh Bilal Mohamad Khairulanuar bin Mohamad Dun dan Bilal Muhammad Hazim Zaim bin Dandan.

Program diteruskan dengan Ceramah Hari Asyura 1446H yang disampaikan oleh Ustaz Nur Ikhmal Hakim bin Sabaruddin. Ustaz di dalam ceramahnya menghuraikan firman Allah SWT di dalam Surah Al-Taubah, ayat 36 tentang bulan-bulan Haram. Ustaz, kemudian menerangkan lebih lanjut bulan Haram Muharam dan hari Asyura, keutamaan-keutamaannya dengan pelbagai ibadah, lebih-lebih lagi ibadah puasa dan membelanjakan rezeki buat ahli keluarga di hari Asyura. Seterusnya, program diakhiri dengan Iftar Jamie di Dewan Aras 1 MJBBU.

Semoga para jemaah sekalian, ahli kariah BBU dan masyarakat sekitar yang menyertai program hari Asyura 1446H mendapat pelbagai manfaat dan digandakan balasan pahala di atas amalan sunnah sepanjang hari Asyura khususnya dan bulan Muharam yang suci umumnya.

قال العلامة أبي بكر بن محمد شطا الدمياطي البكري : ويسن متأكدا صوم يوم عاشوراء لقوله ﷺ فيه : أحتسب على الله أن يكفر السنة التي قبله

Kata Al-Allamah Al-Syeikh Abu Bakar Al-Bakri: "Dan sunat muakad berpuasa pada hari Asyura kerana sabda Baginda SAW padanya: "Dan berpuasa pada hari Asyura) sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah SWT agar ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang sebelumnya."

وقد عدها بعضهم اثنتي عشرة خصلة وهي الصلاة والصوم وصلة الرحم والصدقة والاغتسال والاكتحال وزيارة عالم وعيادة مريض ومسح رأس اليتيم والتوسعة على العيال وتقليم الاظفار وقراءة سورة الاخلاص - ألف مرة

"Dan sebahagian mereka (para ulama) menghitung jenis amalan di hari Asyura dengan 12 perkara iaitu: (1) bersolat; (2) berpuasa; (3) menyambung silaturahim; (4) bersedekah; (5) bersuci; (6) bercelak; (7) menziarahi orang alim; dan (8) mengunjungi orang sakit; (9) menyapu kepala anak yatim; (10) meluaskan atas (nafkah) keluarga; (11) memotong kuku; dan (12) membaca Surah Al-Ikhlas sebanyak 1,000 kali."