بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
TIGA (3) ILMU YANG WAJIB DIPELAJARI
Menuntut ilmu adalah wajib hukumnya bagi setiap individu yang mukalaf. Ilmu yang dimaksudkan merangkum ilmu akidah, fiqh dan kesucian hati dimana ianya juga wajib diamalkan agar kehidupan seseorang itu akan sentiasa berlandaskan syariat demi mencapai reda Allah SWT dan RasulNya.
Al-Allamah Syeikh Zainuddin Al-Malibari, di dalam nazamnya telah menyatakan ketiga-tiga ilmu tersebut sebagaimana berikut:
وتعلمن علما يصحح طاعة ∴ وعقيدة ومزكي القلب اصقلا
"Dan pelajarilah ilmu yang mengesahkan ketaatan (fiqh), (mengesahkan) akidah dan mensucikan hati dengan bersih (tasawuf)."
هذا الثلاثة فرض عين فاعرفن ∴ واعمل بها تحصل نجاة واعتلا
"Ketiganya ini adalah fardu ain, maka ketahuilah dan amalkannya agar terhasil keselamatan dan kemuliaan."
Al-Allamah Al-Syed Abu Bakr Al-Bakri menghuraikan bagi ketiga-tiga funun ilmu ini di dalam Kifayah Al-Atqiya wa Minhaj Al-Asfiya sebagaimana berikut:
يعني يجب عليك أيها السالك الراغب فيما يوصلك الى رضا الله ورسوله أن تتعلم علما يصحح طاعتك وعبادتك من وضوء وصلاة وصوم وزكاة وحج ومعاملة على وفق الشريعة المطهرة إذ العمل من غير علم باطل
"Yakni wajib ke atas engkau wahai para salik yang mendambakan pada apa yang menyampaikan engkau ke reda Allah dan RasulNya bahawa engkau mempelajari ilmu mengesahkan ketaatan dan ibadah engkau, dari ibadah wuduk, solat, puasa, zakat, haji dan muamalat yang berlandaskan syariat yang suci kerana amal tanpa ilmu ialah batil (sia-sia)."
ويجب عليك أيضا أن تتعلم علما يصحح اعتقادك بأن يكون على وفق ماذهب اليه أهل السنة والجماعة وذلك لتحترز به عن الاعتقادات الفاسدة كاعتقاد المعتزلة والجبرية والمجسمة
"Wajib ke atas engkau (wahai salik) bahawa engkau mempelajari ilmu yang mengesahkan akidah engkau dengan bahawa iaitu (ilmu) berlandaskan ke atas mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah. Dan demikian itu agar engkau terpelihara dengannya (ilmu) dari iktikad yang rosak seperti akidah Muktazilah, Jabariah dan Mujasimah (Akidah Al-Mubtadi'ah)."
ويجب عليك أيضا أن تتعلم علما يزكى القلب و يطهره من الأخلاق الذميمة كالكبر والرياء والحسد والحرص وغيرها من أمراض القلب
"Dan wajib ke atas engkau juga bahawa engkau mempelajari ilmu yang mensucikan hati dan membersihkannya (hati) dari akhlak yang tercela seperti sombong, riak, hasad, rakus (kepada dunia) dan sebagainya dari jenis penyakit-penyakit hati."
Al-Syeikh Muhammad Nawawi Al-Jawi turut menerangkan di dalam Salalim Al-Fudala ala Hidayah Al-Azkiya, bahawa ketiga-tiga jenis ilmu ini adalah fardu ain, wajib hukumnya ke atas setiap individu mukalaf untuk mempelajarinya. Tidak harus dan tidak sah bagi seseorang menjadi jahil dari mengetahui ilmu-ilmu tersebut. Justeru beramal tanpa ilmu-ilmu ini akan menjadikan amalan itu sia-sia di sisi Allah SWT.
Oleh itu menjadi kewajipan kepada kita untuk berusaha menuntut ilmu-ilmu ini kerana kesahihan dalam akidah, fiqh dan tasawuf menatijahkan makbul dalam mentaati dan beribadah kepada Allah SWT. Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan dan istiqamah untuk menuntut ilmu fardu ain ini dan diberi pahala di atas usaha mempelajarinya.