بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
ILMU YANG BERMANFAAT
Menuntut ilmu merupakan satu tuntutan apatahlagi jika itu merupakan ilmu agama maka fardu bagi kita mempelajarinya. Walaubagaimanapun terlebih utama hasil daripada pembelajaran dan pengajian kita adalah ilmu yang bermanfaat kerana sebanyak mana ilmu yang diperolehi dan jika ianya tidak memberi manfaat, maka ia tidak berguna. Oleh itu, keutamaan ilmu itu ialah yang memberi manfaat dengan melahirkan rasa takut dan kebergantungan kita kepada keagungan dan keesaan Allah SWT.
Firman Allah SWT:
إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ
"Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun."
Al-Imam Ghazali menyatakan di dalam risalahnya Minhaj Al-Abidin:
إن العلم النافع يثمر خشية الله
"Bahawa sesungguhnya ilmu yang bermanfaat itu membuahkan (rasa) takut dan haibah kepada Allah SWT."
Yakni ilmu yang bermanfaat itu menzahirkan rasa kebergantungan kita kepada Allah SWT. Justeru mereka yang 'Khasyah' kepada Allah, itulah mereka yang mendapat ilmu yang bermanfaat dan seterusnya, merekalah orang yang sebenarnya alim di atas agama ini.
Al-Syeikh Ihsan Dahlan bin Al-Marhum Muhammad Dahlan Al-Jampesi Al-Kadiri turut menghuraikan kenyataan Al-Imam Al-Ghazali ini di dalam Siraj Al-Talibin, di antaranya sebagaimana berikut:
قال عبد الله بن مسعود : ليس العلم بكثرة الرواية لكن الخشية
Abdullah bin Mas'ud RHM berkata: "Bukanlah ilmu itu dengan banyaknya riwayat, tetapi (ilmu) adalah Al-khasyah (takut yang menjadikannya tunduk kepada Allah SWT)."
وبالجملة إن العلم النافع هو العلم الذى يؤدى صاحبه إلى الخوف والخشية وملازمة التواضع والذلة والتخلق بأخلاق الإيمان
"Ringkasannya ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang membawa kepada ketakutan, kelaziman diri dengan sifat tawaduk dan penerapan dengan akhlak iman."
Justeru, umat Islam dianjurkan menuntut ilmu-ilmu yang bermanfaat ini. Terlebih utama ialah ilmu fardu ain yang merangkum tiga jenis ilmu yang dibincangkan sebelum ini iaitu ilmu akidah, fiqh dan tasawuf.
Kesemuanya ilmu yang mensahihkan iktikad kita dari ajaran sesat yang 'Fasidah' dan bidaah ke atas Allah SWT, ilmu mensahihkan ibadah agar makbul segala amal ibadah oleh Allah SWT dan ilmu yang mensucikan hati dari segala sifat mazmumah dan menanamkan sifat mahmudah, adab yang baik serta akhlak yang mulia. Ilmu-ilmu ini yang dizahirkan melalui amalan kita akan membuahkan ketaatan dan kebergantungan kepada Allah SWT secara keseluruhannya.
Semoga Allah SWT mengurniakan kita kekuatan untuk menuntut ilmu yang bermanfaat dan mengamalkannya serta menjadikan kita dikalangan mereka yang bertakwa.