بسم الله الرحمن الرحيم

بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

MENCINTAI RASULULLAH ﷺ DENGAN BACAAN MAULID AL-NABI

Kelahiran junjungan Nabi Muhammad SAW merupakan kelahiran yang teristimewa dan teragung. Para ulama mencatatkan pelbagai peristiwa luar biasa berlaku di seluruh alam semasa ibu Rasulullah SAW mengandung sehinggalah melahirkan Baginda.

Ini kerana Rasulullah SAW merupakan makhluk Allah SWT yang paling afdal dan sempurna pada perihalnya dan sifatnya dari segala ciptaan Allah SWT, baik manusia, jin dan malaikat.

Al-Imam Ibn Hajar Al-Haitami menukilkan sebuah hadis di dalam risalahnya:

وعن ابي هريرة رضي الله عنه قال : سالت علي ابن ابي طالب رضي الله عنه عن صفات رسول الله ﷺ فقال : اعلم انه رسول رب العالمين وقائد الغر المحجلين وسيد جميع الانبياء ... ورسول الى كافة الخلق اجمعين كما قال الله تعالى في كتابه المبين : والمرسلين : مَا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَا أَحَدٍ مِنْ رِجَالِكُمْ وَلَٰكِنْ رَسُولَ اللَّهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّين

"Dari Abu Hurairah: "Aku telah bertanya Ali Ibn Abi Thalib RA tentang sifat-sifat Rasulullah SAW. Lalu dia menjawab: "Ketahuilah, bahawasanya Baginda SAW ialah utusan Tuhan sekalian alam, pemimpin bagi manusia yang mulia, penghulu sekalian Anbiya dan Mursalin...dan utusan kepada makhluk seluruhnya sebagaimana firman Allah SWT di dalam Al-Quran: "Bukanlah Nabi Muhammad itu bapa dari seseorang lelaki di antara kamu, tetapi Baginda adalah Rasulullah dan khatam (penutup) bagi sekalian para Anbiya."

Kemuliaan Nabi SAW tidak dapat disangkal kerana Baginda SAW adalah sebaik-baik ciptaan. Justeru kedatangan dan kelahiran Baginda SAW juga amatlah mulia dan istimewa yang dinanti-nantikan oleh seluruh alam.

Bahkan dikhabarkan oleh Al-Waqidi RHM dari Al-Imam Ibn Hajar Al-Haitami, semasa Sayidatina Aminah RA mengandungkan Nabi SAW, para malaikat dan makhluk di seluruh alam memuji-muji Rasulullah SAW dan ketika Baginda lahir, Sayidatina Aminah RA diziarahi wanita-wanita yang mulia seperti Sayidatina Hawa, Sayidatina Sarah dan Sayidatina Maryam serta para malaikat berbondong-bondong menyambut kelahiran Baginda SAW dengan seruan tasbih dan selawat.

Kelahiran junjungan mulia Nabi SAW menjadi bukti kemuliaan di bulan Rabiulawal kerana insan mulia dilahirkan di bulan ini. Menjadikan Maulid Al-Nabi SAW itu satu waktu, amalan dan majlis yang istimewa dan padanya pelbagai fadilat.

Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami menukilkan pelbagai kalam ulama tentang kemuliaan Maulid Al-Nabi SAW, di antaranya dari Al-Imam Al-Hafiz Jalaluddin Al-Suyuti:

ما من بيت او مسجد او محلة قريء فيه مولد النبي ﷺ إلا حفت الملائكة ذلك البيت او المسجد او المحلة وصلت الملائكة على أهل ذلك المكان وعمهم الله تعالى بالرحمة والرضوان

"Tiada satu rumah atau masjid atau tempat, yang dibacakan di dalamnya Maulid Al-Nabi melainkan para malaikat akan mengelilingi rumah atau masjid atau tempat tersebut dan meminta ampun ke atas penghuni tempat itu dan Allah akan melimpahkan mereka dengan rahmat dan keridaan."

ما من مسلم قرأ في بيته مولد النبي ﷺ إلا رفع الله سبحانه وتعالى القحط والوباء والحرق والغرق والآفات والبليات والبغض والحسد وعين السوء واللصوص عن اهل ذلك البيت فإذا مات هون الله عليه جواب منكر ونكير ويكون في مقعد صدق عن مليك مقتدر

"Tidaklah seorang muslim yang membaca Maulid Al-Nabi di rumahnya melainkan Allah SWT mengangkat (menghilangkan) kekeringan, wabak, kebakaran, kelemasan, penyakit, bencana, kebencian, hasad, keburukan ain dan pencuri dari penghuni rumah tersebut. Dan apabila dia meninggal, nescaya Allah akan memudahkan ke atasnya jawapan dari pertanyaan malaikat Munkar dan Nakir serta dia akan berada di tempat duduknya yang benar di sisi Tuhan yang Maha Berkuasa."

Oleh itu dengan kehadiran Maulid Al-Nabi SAW beberapa hari lagi, marilah sama-sama kita menghadiri majlis-majlis selawat, zikir, ilmu bagi mengagungkan Baginda SAW. Semoga Allah SWT menghimpunkan kita bersama-sama orang yang kita paling cintai, iaitu Rasulullah SAW di dalam syurga.